Tiga lagi warga India hari ini didakwa di mahkamah atas tuduhan merusuh di Little India pada Ahad malam.

Mereka yang berumur antara 22 hingga 36 tahun itu didakwa memecahkan cermin bas persendirian yang terlibat dalam kemalangan yang berlaku tidak lama sebelum rusuhan itu meletus.

Rajendran Ranjan, 22, Moorthy Kabildev, 24 dan Sathiyamoorthy Siv Sivaraman, 36, dibawa ke mahkamah pada petang Rabu.

Timbalan Pendakwaraya Norman Yew membacakan tuduhan dan meminta mereka direman selama seminggu bagi membantu siasatan polis.

Laman web berita Channel News Asia melaporkan ketiga-tiga lelaki itu tidak memberikan sebarang reaksi ketika pertuduhan dibacakan semula dalam bahasa Tamil oleh penterjemah mahkamah.

Seorang wakil daripada Persatuan Undang-Undang Singapura kemudian memaklumkan tertuduh bantuan guaman yang boleh mereka perolehi, sama seperti yang diberitahu kepada kumpulan 24 lelaki yang didakwa pada Selasa.

Kes kemudian ditetapkan untuk sebutan semula pada 18 Disember.

Ketiga-tiga tertuduh adalah antara lapan warga India yang ditahan pada Selasa pagi. Lima yang lain dibebaskan, seorang dengan ikat jamin manakala empat lagi dibebaskan setelah siasatan mendapati mereka tidak terlibat dengan rusuhan tersebut.

Sementara itu, lesen jualan minuman keras di kawasan Little India pada hujung minggu ini telah digantung. Dalam pekeliling penggantungan itu yang diserahkan kepada semua premis yang memegang lesen berkenaan, Jabatan Perlesenan dan Kawalan Polis memberitahu keputusan itu dibuat selepas rundingan dengan Lembaga Perlesenan Minuman Keras.