Rusia veto resolusi Majlis Keselamatan PBB

Astro Awani
Februari 26, 2022 14:17 MYT
Pengundian berakhir dengan keputusan 11-1 kecuali China, India dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang tidak mengundi. - Foto AP
NEW YORK: Rusia menggunakan kuasa veto untuk menghalang resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada Jumaat yang menuntut agar Moscow menghentikan serangan ke atas Ukraine serta mengundurkan tenteranya.
Pengundian berakhir dengan keputusan 11-1 kecuali China, India dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang tidak mengundi.
Pengundian tersebut dilihat sebagai kemenangan buat negara-negara Barat bagi menunjukkan Rusia diasingkan dari masyarakat antarabangsa.
“Kami bersatu di belakang Ukraine dan rakyatnya, meskipun salah seorang anggota tetap Majlis Keselamatan yang tidak bertanggungjawab menyalah guna kuasa untuk menyerang jirannya dan melanggar sistem PBB dan antarabangsa,” kata Duta Amerika Syarikat ke PBB, Linda Thomas-Greenfield selepas keputusan itu.
Sementara itu, Duta Rusia ke PBB Vassily Nebenzia berterima kasih kepada anggota-anggota Majlis Keselamatan yang tidak menyokong draf tersebut, yang digambarkan sebagai anti-Rusia.
Selepas Duta Ukraine ke PBB Sergiy Kyslytsya bertafakur bagi memperingati mangsa-mangsa korban, anggota majlis itu bertepuk tangan sebagai tanda solidariti yang jarang berlaku dalam dewan Majlis Keselamatan.
Rusia, Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan China mempunyai kuasa veto dalam Majlis Keselamatan.
#veto #Rusia #Majlis Keselamatan #Ukraine
;