Rusia veto draf resolusi penubuhan tribunal MH17
Astro Awani
Julai 30, 2015 11:00 MYT
Julai 30, 2015 11:00 MYT
Rusia memveto draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu, UNSC untuk penubuhan Tribunal Antarabangsa berkenaan MH17.
Dalam kenyataannya, Rusia enggan meluluskan draf tersebut kerana menyifatkan tragedi MH17 bukanlah ancaman kepada keselamatan dan keamanan antarabangsa.
Tambahnya, sebelum ini UNSC tidak pernah meluluskan penubuhan tribunal antarabangsa untuk mendakwa mereka yang terlibat dalam tragedi melibatkan pengangkutan.
11 ahli UNSC menyokong draf resolusi yang dicadangkan Malaysia ketika proses pengundian.
Sementara Angola, Venezuela dan China memilih untuk berkecuali.
Di sebalik tindakan veto, Moscow menyatakan kesediaan membantu siasatan pesawat MH17 yang didakwa ditembak jatuh di Ukraine.
Rusia turut menyatakan ia kesal dengan tindakan Malaysia yang tetap mencadangkan draf resolusi tribunal biarpun mengetahui cadangan itu akan diveto Rusia.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengecam tindakan Rusia yang didakwa melepaskan dalang di sebalik tragedi tanpa hukuman ke atas jenayah yang kejam.