Rusia usir diplomat dari Sweden, Poland dan Jerman
Astro Awani
Februari 5, 2021 06:19 MYT
Februari 5, 2021 06:19 MYT
MOSCOW : Rusia mengusir diplomat daripada Sweden, Poland dan Jerman dengan mendakwa mereka turut serta dalam demonstrasi bagi menyokong pemimpin pembangkang Alexei Navalny.
Perkembangan itu menyusul ketika ketegangan antarabangsa meningkat kerana tindakan Rusia menghumban ketua pembangkang itu ke penjara.
Pengumuman dibuat Ketua Luar Negeri Kesatuan Eropah (EU), Josep Borell.
Katanya, Menteri Luar Negeri Rusia, Sergey Lavrov menyifatkan tindakan ke atas Navalny itu melemahkan hubungan antara Brussels dan Moscow.
Kementerian Luar Negeri Moscow menuduh diplomat Sweden dan Poland di St Petersburg dan diplomat Jerman di Moscow terlibat dalam demonstrasi haram pada 23 Januari.
Puluhan ribu rakyat di seluruh Rusia menyertai demonstrasi itu.
Menurut kenyataan kementerian itu, diplomat itu kini merupakan 'persona non grata' dan harus meninggalkan Rusia dalam masa terdekat.
Tindakan itu turut menerima kritikan pemimpin Eropah.