Rusia usir 60 diplomat AS rentetan insiden bekas perisik diracun
Agensi
Mac 29, 2018 05:04 MYT
Mac 29, 2018 05:04 MYT
Rusia mengusir 60 diplomat Amerika Syarikat (AS) pada Khamis dan mengumumkan ada banyak lagi diplomat dari negara-negara lain akan menerima nasib yang sama dengan London dan Washington.
Reuters melaporkan, tindakan tersebut diambil susulan tekanan yang dikenakan ke atas Moscow berkaitan kes bekas perisik yang diserang menggunakan agen saraf.
Duta AS juga diarahkan untuk menutup konsulat di St Petersburg, dalam satu tindakan balas yang disifatkan sebagai pengusiran diplomat asing terbesar sejak Perang Dingin.
Bagaimanapun, langkah Rusia itu, yang menyamai langkah yang dikenakan ke atas diplomat Rusia oleh kerajaan-kerajaan Barat, menunjukkan bahawa Moscow tidak berminat untuk memanjangkan kekecohan mengenai insiden serangan menggunakan agen saraf ke atas Sergei Skripal dan anak perempuannya, Yulia di Salisbury, London.
Britain telah menyalahkan Rusia berkaitan serangan itu, selain disokong oleh banyak negara-negara Barat lain, hingga mengakibatkan para diplomat Rusia diusir.
Moscow bagaimanapun menafikan keterlibatannya dalam insiden berkenaan.
Presiden Rusia Vladimir Putin, yang berdepan situasi ekonomi negaranya yang kurang memberangsangkan dan ‘solidariti’ negara-negara Barat yang menentangnya, setakat ini hanya mengikut rentak diplomatik.
Duta AS John Hunstman telah dipanggil oleh Kementerian Luar Rusia, dan diberitahu agar kesemua 60 diplomat dalam misi AS mempunyai tempoh masa seminggu untuk meninggalkan Rusia.
Terdahulu, tindakan yang sama dilakukan Washington ke atas 60 diplomat Rusia di negara Uncle Sam itu.
“Mengenai negara-negara lain, semuanya akan mengikut langkah simetrikal iaitu berkaitan bilangan individu dalam misi diplomatik mereka, yang perlu meninggalkan Rusia,” ujar Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov.
Pendekatan itu bermakna, negara-negara seperti Perancis, Jerman dan Poland masing-masing mempunyai empat diplomat di Moscow yang dihantar pulang, Ukraine sejumlah 13 diplomat, manakala Denmark, Albania dan Sepanyol masing-masing mempunyai dua petugas kedutaan yang diusir.
Sebelum ini, Rusia sudahpun mengusir 23 diplomat Britain sebagai langkah timbal balik.
#agen saraf
#Amerika Syarikat
#diplomat
#Diplomatik
#London
#pengusiran
#peran dingin
#Rusia
#serangan