Rusia, Ukraine tukar 206 tahanan dalam masa dua hari

Astro Awani
September 15, 2024 08:30 MYT
Sebahagian daripada tahanan warga Ukraine yang dibebaskan Rusia pada Sabtu. - Foto REUTERS
KIEV: Rusia dan Ukraine melakukan pertukaran besar-besaran seramai 206 tahanan, pada Sabtu.
Pertukaran tahanan itu, masing-masing seramai 103 orang bagi kedua-dua pihak, berlaku selepas kejayaan rundingan di mana Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjadi orang tengah.
Presiden Volodymyr Zelenskyy memberi pujian kejayaan pembebasan tawanan itu kepada pencerobohan tenteranya ke Rusia baru-baru ini.
Warga Ukraine yang dibebaskan, meliputi 82 askar persendirian dan 21 pegawai telah ditahan sejak bulan-bulan lamanya semasa awal perang.
Kementerian Pertahanan Rusia berkata, 103 askar Rusia yang ditukar telah ditawan di wilayah Kursk, kawasan sempadan di mana tentera Ukraine melancarkan pencerobohan mengejut pada Ogos lalu.
Zelenskyy dalam ucapan videonya berterima kasih kepada pasukan tempurnya atas keberanian mereka dan pasukan yang mengendalikan pertukaran tahanan.
Zelenskyy menyiarkan gambar anggota tentera yang gembira dengan pembebasan itu tetapi tidak mendedahkan lokasi mereka berada.
Beliau berkata mereka yang dibebaskan termasuk askar yang berjuang untuk mempertahankan bandar Mariupol.
Pertukaran tahanan itu dikendalikan oleh UAE dan ia merupakan pengantaraan kelapan negara itu sejak awal 2024.
Kiev dan Moscow sering bertukar tahanan sejak pencerobohan Rusia pada Februari 2022.
Pertukaran tahanan pada Sabtu adalah yang ketiga sejak Ukraine memulakan pencerobohan rentas sempadan ke wilayah Kursk, Rusia pada awal Ogos.
Pegawai Ukraine sebelum ini berkata, tentera Kiev telah menawan sekurang-kurangnya 600 askar Rusia semasa pencerobohan dan ini akan membantu ia menjamin kepulangan rakyat Ukraine yang ditawan.
Ukraine berkata, Kiev setakat ini telah memastikan pemulangan 3,672 warga Ukraine dalam 57 pertukaran tahanan.
#pertukaran tahanan #Rusia #Ukraine #UAE
;