Rusia, Ukraine saling bertukar tawanan perang

Bernama
Mei 31, 2024 23:28 MYT
75 anggota tentera Rusia telah ditukar dengan 75 anggota tentera Ukraine, yang telah dipindah ke Kyiv selepas usaha UAE selaku pengantara.
MOSCOW: Kementerian Pertahanan Rusia pada Jumaat mengumumkan pertukaran 75 tawanan perang dengan Ukraine.
Kementerian itu berkata dalam satu kenyataan bahawa 75 anggota tentera Rusia telah ditukar dengan 75 anggota tentera Ukraine, yang telah dipindahkan ke Kyiv selepas usaha Emiriah Arab Bersatu (UAE) selaku pengantara, lapor Agensi Anadolu.
"Anggota tentera (Rusia) yang dibebaskan akan dihantar ke Moscow dengan pesawat pengangkutan tentera Angkatan Aeroangkasa Rusia untuk rawatan dan pemulihan," kata kementerian itu.
"Semua yang dibebaskan diberikan bantuan perubatan dan psikologi yang diperlukan," katanya.
Kementerian itu memuji peranan Emiriah Arab Bersatu, dengan mengatakan pihak berkuasa menyediakan "bantuan perantaraan kemanusiaan."
Dalam satu kenyataan berasingan, Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy mengesahkan pertukaran itu dan berjanji untuk terus berusaha "membawa pulang semua orang dari tawanan Rusia."
"Dan hari ini kami mencapai hasil penting, seramai 75 orang lagi telah kembali ke Ukraine. Askar angkatan tentera Ukraine dan Pengawal Nasional, pengawal sempadan, empat orang awam -- semuanya kini berada di tanah air mereka," tulisnya dalam hantaran di Telegram.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pasukan yang bekerja dalam pertukaran tawanan perang.
-- BERNAMA
#Ukraine #Rusia #tukar tawanan perang #pengantara #UAE
;