Rusia tutup konsulat Poland di St Petersburg
Astro Awani
Disember 7, 2024 10:40 MYT
Disember 7, 2024 10:40 MYT
MOSCOW: Rusia mengumumkan telah menutup konsulat Poland di St Petersburg sebagai tindak balas terhadap keputusan negara itu untuk menutup konsulat Rusia di Poznan.
Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri Rusia, tiga diplomat dari konsulat Poland turut diisytiharkan sebagai 'persona non grata' dan diminta meninggalkan Rusia sebelum tarikh tertentu yang ditetapkan.
Kenyataan menyebut, Moscow telah dan akan terus mengambil langkah tegas terhadap sebarang tindakan bersifat seteru terhadap Rusia.
Sementara itu, Menteri Luar Poland, Radoslaw Sikorski memberitahu Reuters, bahawa tindakan Rusia itu tidak berasas.
Ini kerana keputusan Poland menutup konsulat di Poznan adalah reaksi terhadap sabotaj dan insiden pembakaran yang dilakukan Rusia di Poland.
Kata Sikorski, Poland sebaliknya tidak melakukan pembakaran atau sabotaj di Rusia.
Bagaimanapun ujarnya, tindakan Rusia bukan sesuatu yang mengejutkan.