Rusia tolak cadangan PBB, dakwa blok barat campur tangan

Astro Awani
April 30, 2022 09:50 MYT
Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov menuduh barat mensabotaj rundingan Rusia dengan Ukraine. - Foto REUTERS
MOSCOW: Menteri Luar Rusia menolak permintaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membuka ruang bagi koridor kemanusiaan di beberapa bandar di Ukraine yang menjadi tumpuan sasaran serangan.
Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov berkata demikian ketika ditanya dalam temu bual dengan TV Al-Arabiya milik Arab Saudi, mengenai cadangan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres tentang bantuan kemanusiaan dan pemindahan orang awam di Ukraine.
Kata Lavrov, tidak perlu mana-mana pihak lain memberikan bantuan untuk membuka koridor kemanusiaan.
"Tidak perlu. Tidak ada keperluan untuk sesiapa memberikan bantuan membuka koridor kemanusiaan.
"Hanya ada satu masalah, koridor kemanusiaan yang diumumkan setiap hari, tidak diendahkan oleh ultra-nasional Ukraine," katanya.
Semasa wawancara selama sejam itu, Lavrov juga menuduh barat mensabotaj rundingan Rusia dengan Ukraine.
Beliau mendakwa bahawa rundingan di Istanbul bulan lalu telah berjalan berkenaan isu tuntutan wilayah Rusia dan jaminan keselamatan, bagaimanapun diplomat Ukraine berundur mengikut arahan barat.
Jelasnya, Rusia terperangkap dengan permainan barat dalam rundingan yang cuba dilakukan.
#Rusia #PBB #Sergey Lavrov #koridor kemanusiaan
;