Rusia setuju dengan resolusi Gaza dalam Sidang Kemuncak Arab-Islam - Menteri Indonesia

Bernama
November 22, 2023 18:29 MYT
Retno (dua dari kanan) berkata, perkara itu diputuskan selepas perbincangan terbuka mengenai isu Gaza di antara wakil-wakil khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Menteri Luar Rusia. - Sinar Harian
JAKARTA: Rusia bersetuju dengan resolusi yang diterima semasa Sidang Kemuncak Tergempar Negara Arab-Islam di Riyadh, Arab Saudi khususnya dalam menangani situasi di Gaza, menurut Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi.
Perkara itu diputuskan selepas perbincangan terbuka mengenai isu Gaza di antara wakil-wakil khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov di Moscow pada Selasa.
Retno juga menyambut baik langkah Rusia yang menerima baik lawatan menteri-menteri luar OIC itu.
Retno yang kini berkhidmat sebagai utusan khas bersama-sama menteri dari Arab Saudi, Jordan, Mesir, Qatar, Turkiye, Nigeria dan Palestin, menyuarakan hasratnya untuk memulakan tindakan segera di peringkat antarabangsa bagi pihak OIC dan anggota Liga Arab.
Semasa pertemuan dengan Lavrov, delegasi itu menekankan pengiktirafan global terhadap isu Gaza dan kepentingan untuk pendirian yang adil.
"Adalah penting untuk mengambil tindakan supaya keganasan dapat dihentikan, gencatan senjata dapat dicapai dan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan dengan lancar atau tanpa halangan.
"Oleh itu, sokongan daripada pelbagai negara amat diperlukan terutamanya anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu termasuk Rusia," katanya.
Perbincangan turut meliputi langkah-langkah bagi 'penyelesaian dua negara', potensi penganjuran Persidangan Antarabangsa mengenai Keamanan di Palestin dan serangan Israel ke atas Hospital Indonesia.
Retno menegaskan bahawa menteri-menteri luar OIC mengecam serangan Israel di Gaza, menolak alasan 'mempertahankan diri' Israel sebagai tidak boleh diterima, terutamanya apabila ia melibatkan pembunuhan orang awam dan menyerang kemudahan awam.
Mengenai isu terputus hubungan dengan tiga warga Indonesia di Gaza, beliau menyebut usaha sedang dibuat untuk mengatasi masalah itu.
Retno kini berada di London bersama rakan sejawat dari Arab Saudi, Jordan, Mesir dan Palestin.
Mereka dijadual bertemu dengan Setiausaha Luar David Cameroon sebelum ke Paris untuk bertemu dengan Presiden Macron.
-- BERNAMA
#sidang kemuncak #Gaza #arab-islam #oic #Retno Marsudi
;