Rusia serang Odessa dengan dron, peluru berpandu
Bernama
Julai 18, 2023 16:41 MYT
Julai 18, 2023 16:41 MYT
KYIV: Rusia melancarkan serangan udara di wilayah Odessa di Laut Hitam pada Isnin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik pegawai.
Pertahanan udara Ukraine menembak jatuh enam peluru berpandu cruise Kalibr Rusia dan 21 dron tempur, kata tentera Ukraine menerusi Facebook pada Selasa.
Serpihan yang jatuh dan gelombang kejutan menyebabkan kerosakan pada pelabuhan Odessa dan rumah persendirian. Seorang penduduk cedera.
Empat dron berjaya ditangkis di wilayah jiran Mykolaiv, kata tentera.
Rusia melancarkan perang tanpa provokasi terhadap negara jiran itu lebih 16 bulan lalu.
Tiga pelabuhan di wilayah Odessa dan di selatan Ukraine adalah sebahagian daripada "perjanjian bijirin Laut Hitam" antara Rusia dan Ukraine, yang diurus oleh Turkiye dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Perjanjian itu, yang membenarkan eksport barangan pertanian merentasi Laut Hitam walaupun perang berterusan, dianggap penting untuk keterjaminan makanan global.
Pada Isnin, Rusia mengisytiharkan perjanjian itu ditamatkan di tengah-tengah kritikan antarabangsa.
-- BERNAMA