Rusia sedia laksana semula Inisiatif Bijirin Laut Hitam
Astro Awani
September 4, 2023 07:15 MYT
September 4, 2023 07:15 MYT
MOSCOW: Presiden Vladimir Putin akui Rusia sedia kembali melaksanakan inisiatif Perjanjian Bijirin Laut Hitam, sekiranya semua syarat-syarat berkaitan dipenuhi.
Kenyataan dibuat selepas pertemuan dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.
"Saya ingin ulangi pendirian kami. Kami sedia mempertimbang untuk melaksana semula Perjanjian Bijirin dan saya nyatakan sekali lagi kepada presiden mengenainya hari ini.
"Ia akan dilaksankan secepat mungkin sekiranya persetujuan untuk menarik semula sekatan ke atas eksport produk pertanian Rusia dilaksanakan sepenuhnya," katanya.
Putin juga mengulangi kritikan terhadap blok barat berkenaan perjanjian tersebut.
Beliau turut memaklumkan saluran gas Rusia ke Turki menjadi sasaran serangan, dan koridor perjanjian bijirin tidak sepatutnya digunakan untuk tujuan ketenteraan.
Dalam perkembangan sama, Erdogan tegaskan Ukraine perlu berlembut dengan Rusia dalam hal ini.
Beliau juga optimis inisiatif itu akan dilaksanakan semula.
Erdogan memaklumkan pihaknya mengemukakan beberapa cadangan baharu mengenai Inisiatif Bijirin Laut Hitam kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Dalam konteks ini, kami menyediakan pakej cadangan-cadangan baharu dalam rundingan dengan pbb. Saya berpendapat adalah mungkin untuk mendapat keputusan baik dengan proses ini.
"Turki percaya kami akan mencapai penyelesaian yang memenuhi jangkaan semua dalam masa yang singkat," katanya.
Rusia tarik diri daripada perjanjian itu Julai lalu selepas negara itu mendakwa eksport makanan dan bajanya berdepan halangan, di sebalik inisiatf itu.
Inisiatif itu ditaja Turki dan PBB.
Ia membolehkan bijirin keluaran Ukraine dipasarkan ke luar negara menerusi Pelabuhan Laut Hitam dan membantu mengurangkan krisis makanan global.