'Rusia sedia berbincang jika tentera Ukraine letak senjata' - Menteri Luar Rusia
Agensi
Februari 25, 2022 23:56 MYT
Februari 25, 2022 23:56 MYT
MENTERI Luar Rusia, Sergey Lavrov mengumumkan Rusia 'bersedia untuk berbincang bila-bila masa' dengan Ukraine, namun meletakkan syarat tentera Ukraine menghentikan tentangan dan meletakkan senjata.
Lavrov berkata demikian dalam satu sidang media pada Jumaat selepas pertemuan dengan Timbalan Menteri Luar Wilayah Donetsk yang dikawal pemisah, Sergey Peresada, dan Menteri Luar Wilayah Luhansk yang dikawal pemisah, Vladislav Deinego.
Lavrov juga memberitahu pemberita bahawa Rusia akan memastikan Ukraine kelak akan ditadbir oleh kerajaan sivil dan mahu rakyat Ukraine bebas menentukan nasib mereka sendiri.
Lavrov juga menuduh Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy berbohong apabila berkata beliau bersedia untuk membincangkan status neutral Ukraine.
Pada masa sama, Rusia tidak akan mengiktiraf kerajaan Ukraine ketika ini sebagai sebuah kerajaan demokratik.
Rusia terdahulu melancarkan pencerobohan ke pinggir ibu negara Kiev pada Jumaat menerusi serangan udara ke atas bandar dan pangkalan tentera.
Ia juga mengerahkan askar dan kereta kebal menerusi serangan dari tiga penjuru.