Rusia sahkan dua terbunuh, seorang cedera dalam 'kes kecemasan' di Jambatan Crimea
Bernama
Julai 17, 2023 19:02 MYT
Julai 17, 2023 19:02 MYT
VLADIVOSTOK: Sepasang suami isteri terbunuh manakala anak perempuan mereka cedera dalam kejadian kecemasan di Jambatan Crimea, lapor Xinhua memetik laporan media.
Kejadian itu disahkan oleh Gabenor Belgorod Vyacheslav Gladkov pada Isnin.
Gabenor Krasnodar, Veniamin Kondratyev, berkata ibu pejabat operasi telah dibuka di daerah Temryuk Krasnodar bagi menyelaras dan membantu orang ramai yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas berhampiran jambatan itu.
Pada Isnin, Sergey Aksenov, ketua Crimea, berkata lalu lintas di Jambatan Crimean terhenti berikutan 'kejadian kecemasan', tetapi tidak mendedahkan punca kejadian.
Kementerian Pengangkutan Rusia kemudiannya mengesahkan permukaan jalan di Jambatan Crimea di sebelah Crimea rosak.
Agensi Berita TASS melaporkan kementerian sedang memeriksa keadaan jambatan itu.
Sekumpulan penyiasat khas dari Jawatankuasa Penyiasatan Rusia tiba di tempat kejadian untuk menyiasat kejadian itu.
-- BERNAMA