Rusia Memilih: Putin bakal pecah rekod terajui Rusia selama empat penggal
Agensi
Mac 18, 2018 19:44 MYT
Mac 18, 2018 19:44 MYT
Berjuta-juta rakyat Rusia keluar mengundi pada proses demokrasi yang diramal memberikan kemenangan besar kepada Presiden Vladimir Putin.
Penganalisis melihat, di sebalik isu diplomatik Rusia-Britain dan kebencian Barat terhadap Putin, ia sama sekali tidak menjejaskan sokongan rakyat terhadap bekas pengintip KGB itu.
“Beliau cuma mampu ditewaskan jika sebahagian besar pengundi tidak menunaikan tanggungjawab itu, sekali gus memberikan kerana keputusan luar jangka,” kata penganalisis Oleg Sirota sebagaimana dipetik agensi berita Interfax.
Di timur Rusia, pusat pengundian di bandar raya Petropavlovsk-Kamchatsky dibuka pada jam 8.00 pagi waktu tempatan.
Proses pengundian berlangsung sehingga pusat undian ditutup di wilayah Kaliningrad, 22 jam kemudian.
Tinjauan pendapat mendedahkan, Putin memperoleh 70 peratus sokongan, atau hampir 10 kali lebih tinggi berbanding pencabar terdekatnya.
Putin dicabar tujuh individu termasuk jutawan, Pavel Grudinin; bekas pengacara program realiti
Ksenia Sobchak dan veteran berfahaman nasionalis Vladimir Zhirinovsky.
Kemenangan sepenggal lagi selama enam tahun membawa Putin berkuasa sama ada sebagai Presiden dan Perdana Menteri hampir suku abad, antara pemimpin Kremlin kedua paling lama memerintah selepas diktator Josef Stalin
Ramai pengundi memuji Putin, bekas pengintip KGB berusia 65 tahun itu atas hujah ketegasannya memelihara kepentingan Rusia ketika dunia membenci negara bekas komunis itu.
Malah, Putin turut dipuji kerana tegas berdepan konfrontasi Barat.
Proses pengundian turut diadakan kali pertama di Crimea, selepas Rusia merampasnya dari Ukraine.
Pilihan raya menyusul ulang tahun keempat satu perjanjian penting, dimeterai Putin, di mana secara rasmi
Rusia mengisytiharkan Crimea sebahagian daripada wilayah mereka.
Dalam pada itu, penganalisis melihat perbalahan Rusia dengan Britain berhubung dakwaan Kremlin menggunakan toksin saraf untuk meracun bekas ejen Rusia di England, sama sekali tidak menjejaskan kedudukan Putin.
Moscow sebelum ini berulang kali menyangkal dakwaan terlibat dalam isu berkenaan.
Keputusan pilihan raya dijangka diketahui seawal Isnin.
#Crimea
#Diplomatik
#ejen Rusia
#mandat
#menteri
#Moscow
#Perdana Menteri
#pilihan raya
#Rusia
#Vladimir Putin