Rusia mahu aktif dalam pembinaan hubungan di Asia-Pasifik - Putin

Bernama
September 5, 2023 16:19 MYT
Putin membuat kenyataan itu semasa berucap kepada peserta, penganjur dan tetamu Forum Ekonomi Timur (EEF) ke-8. - Gambar fail
VLADIVOSTOK: Rusia berhasrat membina hubungan di rantau Asia-Pasifik berdasarkan prinsip kesaksamaan, saling menguntungkan, dan menghormati kepentingan sah masing-masing, kata Presiden Rusia Vladimir Putin pada Isnin.
Putin membuat kenyataan itu semasa berucap kepada peserta, penganjur dan tetamu Forum Ekonomi Timur (EEF) ke-8, acara yang dianjurkan oleh Yayasan Roscongress dan dijadualkan diadakan di Vladivostok pada 10-13 Sept.
Presiden Rusia berkata tema utama forum tahun ini, "Menuju Kerjasama, Keamanan dan Kemakmuran", mencerminkan keinginan Rusia untuk melibatkan diri dalam dialog yang luas mengenai isu-isu penting dalam agenda serantau, lapor Xinhua.
Putin yang menekankan pentingnya mewujudkan logistik baharu dan memastikan keselamatan makanan di rantau Asia-Pasifik, berkata perbincangan yang dirancang akan memberi tumpuan kepada prospek untuk memperluas perdagangan, pelaburan, dan kerjasama sains-teknikal.
Adalah penting untuk mengenal pasti cara untuk membentuk rantaian pengeluaran dan logistik baharu yang cekap secara maksimum, memodenkan sistem pengangkutan dan tenaga, serta memastikan keselamatan makanan dan alam sekitar di rantau ini, kata Putin.
EEF ditubuhkan sebagai acara antarabangsa yang berwibawa dan mewakili untuk menyediakan peluang yang baik untuk komunikasi langsung dan penting dalam kalangan ahli perniagaan, ahli politik, tokoh masyarakat dan pakar dari negara yang berbeza, kata Putin.
--BERNAMA-XINHUA
#Rusia #Vladimir Putin #Asia Pasifik #ekonomi #EEF
;