Rusia lancar operasi ketenteraan di timur Ukraine, 7 terbunuh di Lviv
Bernama
April 19, 2022 12:03 MYT
April 19, 2022 12:03 MYT
KYIV: Tentera Rusia melancarkan operasi ketenteraan di wilayah Donbas, namun Ukraine akan mempertahankan diri, kata Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky dalam satu ucapan video pada Isnin lapor Xinhua.
"Tidak kira berapa ramai tentera Rusia dikerahkan, kami akan terus berjuang," katanya.
Beliau berkata baru-baru ini tentera Rusia turut melancarkan operasi di timur dan selatan Ukraine.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Pertahanan Rusia, Igor Konashenkov berkata tentera Rusia telah memusnahkan depoh senjata yang dibekalkan oleh negara-negara Barat, dekat Lviv di barat Ukraine.
Katannya, Pasukan Aeroangkasa Rusia menggunakan peluru berpandu membedil pusat logistik Angkatan Tentera Ukraine berhampiran Lviv, memusnahkan sebahagian besar senjata yang tiba dari Amerika Syarikat dan negara Eropah.
Sekurang-kurangnya tujuh terbunuh dan 11 yang lain cedera dalam serangan peluru berpandu di bandar Lviv, barat Ukraine pada Isnin, kata Ketua Pentadbiran Tentera wilayah Lviv, Maksym Kozytsky.
-- BERNAMA