Rusia kosongkan lebih banyak kawasan di Kursk berikutan pencerobohan Ukraine

Bernama
Ogos 15, 2024 12:49 MYT
Seorang penduduk hiba melihat kemusnahan di kawasan yang dilaluinya di daerah Kursk, selepas dibedil Ukraine. - Reuters
MOSCOW: Pihak berkuasa Rusia telah mengarahkan pemindahan penduduk satu lagi daerah di Wilayah Kursk, Rusia yang sebahagiannya dikawal oleh tentera Ukraine, menurut Gabenor Alexey Smirnov, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Penduduk di Daerah Glushkovsky akan dibawa ke tempat yang lebih selamat, katanya dalam satu hantaran lewat Rabu.
Daerah itu, yang terletak kira-kira 10 kilometer dari sempadan Ukraine, mempunyai lebih daripada 17,500 penduduk berdaftar sebelum Rusia melancarkan pencerobohan besar-besaran ke atas Ukraine pada Februari 2022.
Smirnov melaporkan pada waktu pagi bahawa terdapat amaran serangan udara di kawasan Kursk sekali lagi disebabkan ancaman serangan peluru berpandu daripada pihak Ukraine.
"Rakan senegara yang dihormati, saya meminta anda untuk memahami situasi semasa dan mematuhi semua cadangan pasukan keselamatan dan pihak berkuasa tempatan," kata Smirnov.
Daerah Glushkovsky terletak kira-kira 150 km dari ibu kota wilayah Kursk.
Smirnov menggesa penduduk di kawasan lain yang menerima amaran serangan udara untuk mencari perlindungan di tempat perlindungan atau bilik tanpa tingkap.
Menurut Smirnov, lebih daripada 120,000 orang telah dipindahkan ke tempat yang lebih selamat.
Rusia telah mengisytiharkan wilayah sempadannya, termasuk Kursk, Belgorod, dan Bryansk, sebagai zon operasi antikeganasan supaya tentera boleh mengerahkan lebih banyak anggota dan sumber.
Di Wilayah Belgorod, Moscow telah menaikkan tahap kecemasan kepada darurat nasional, sama seperti yang dilakukan di Kursk.
Di beberapa bahagian Wilayah Kursk, dilaporkan berlaku pertempuran sengit antara tentera Moscow dan Kiev, menurut penulis blog tentera Rusia, selepas Ukraine melancarkan serangan darat ke atas wilayah Rusia minggu lepas.
Kira-kira 12,000 askar Ukraine termasuk tentera upahan dikatakan telah menyusup ke kawasan berkenaan, menurut laporan tentera Rusia yang tidak disahkan oleh Kiev.
-- BERNAMA
#Rusia #Ukraine #perang #pencerobohan