Rusia kini membenarkan perlombongan kripto

Amanz
Ogos 9, 2024 05:00 MYT
Kebenaran melombong selari dengan pandangan Putin yang mahukan Rusia mengambil kesempatan untuk mewujudkan rangka kerja undang-undang mata wang digital kerana ia berpotensi menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. - Gambar fail/ Reuters
RUSIA hari ini secara rasmi membenarkan perlombongan kripto dilakukan tetapi ia hanya dibenarkan kepada syarikat atau entiti Rusia yang berdaftar dengan kerajaan.
Pelombong kripto peribadi masih dibenarkan melakukan aktiviti mereka tanpa berdaftar asalkan penggunaan tenaga elektrik tidak melebihi had yang akan ditetapkan.
Permit turut akan diberikan bagi membolehkan jual beli aset digital dari luar negara menggunakan rantaian blok tempatan. Bank of Russia diberikan kuasa untuk mengharamkan sebarang aset digital yang dirasakan boleh mengancam kestabilan kewangan negara.
Kebenaran melombong ini adalah selari dengan pandangan Presiden Vladimir Putin yang mahukan Rusia mengambil kesempatan untuk mewujudkan rangka kerja undang-undang mata wang digital kerana ia berpotensi menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Sebelum ini Rusia menjadi sasaran operasi perlombongan kripto selepas China mengharamkannya pada tahun 2021.
Kos elektrik yang rendah dan penguatkuasaan yang lemah menjadikan Rusia syurga untuk pelombong. Namun ia membebankan infrastruktur bekalan elektrik yang sudah agak usang.
Di Malaysia pula perlombongan kripto tidak menyalahi undang-undang tetapi kes kecurian elektrik mendatangkan kerugian RM3.4 bilion kepada pihak Tenaga Nasional Berhad. - Amanz
#perlombongan kripto #Rusia #kebenaran rasmi #Vladimir Putin