Rusia: Ketua kumpulan Wagner, pejuang berundur dari bandar Rostov-on-Don
Bernama
Jun 25, 2023 09:00 MYT
Jun 25, 2023 09:00 MYT
MOSCOW: Ketua kumpulan separa tentera Wagner, Yevgeny Prigozhin, bersama pejuangnya dilapor telah meninggalkan bandar Rostov-on-Don di selatan Rusia.
"Wagner meninggalkan Rostov dan menuju ke kem lapangan mereka," lapor Agensi Anadolu memetik Gabenor wilayah Rostov Vasily Golubev sebagai berkata di Telegram pada Ahad.
Hantaran di media sosial menunjukkan Wagner meninggalkan bangunan Ibu Pejabat Daerah Tentera Selatan Rusia di Rostov-on-Don dan mengeluarkan peralatan ketenteraan dari bandar itu.
Terdapat rakaman video yang memaparkan Prigozhin meninggalkan Rostov-on-Don dengan menaiki kereta.
Wagner menuduh tentera Rusia menyerang pejuangnya pada Jumaat dan kumpulan itu kemudiannya menyeberang dari Ukraine ke bandar Rostov-on-Don.
Sebagai tindak balas, Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan di Rusia memulakan prosiding jenayah terhadap Wagner kerana "pemberontakan bersenjata."
Presiden Rusia Vladimir Putin melabelkan kebangkitan Wagner sebagai satu tindakan "pengkhianatan."
Prigozhin berkata pejuangnya akan meneruskan perjalanan ke Moscow, mendorong Kremlin untuk meningkatkan langkah keselamatan di pelbagai wilayah di negara itu.
Dia kemudian mendakwa pejuangnya memutuskan untuk berpatah balik bagi mengelakkan pertumpahan darah apabila mereka berada 200 kilometer (124 batu) dari Moscow, manakala Presiden Belarus Alexander Lukashenko berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan ketua Wagner dengan persetujuan Putin, dan Prigozhin menerima perjanjian untuk "mengendurkan ketegangan."
-- BERNAMA