Rusia isytihar penamatan keahlian UNHRC
Bernama
April 8, 2022 11:50 MYT
April 8, 2022 11:50 MYT
MOSCOW: Moscow pada Khamis memaklumkan penamatan keahlian dari Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) selepas Perhimpunan Agung mengundi menggantung keahlian negara itu, menurut Kementerian Luar Rusia.
Kementerian itu menyifatkan proses undian berkenaan sebagai "menyalahi undang-undang dan bermotifkan politik bertujuan menjatuhkan hukuman demonstratif ke atas sebuah negara anggota PBB berdaulat, yang melaksanakan dasar luar dan dalam negara secara bebas," menurut Agensi Anadolu.
Negara-negara Barat memonopoli majlis itu dan menggunakannya untuk "mencapai objektif" mereka.
"Setelah mengisytiharkan diri mereka sebagai memenuhi 'piawaian' dalam mempertahankan hak asasi manusia, beberapa negara ini terlibat secara langsung dalam pencabulan hak asasi manusia secara besar-besaran," menurut kementerian itu.
Rusia akan terus menyumbang terhadap perlindungan hak asasi manusia meskipun telah menarik diri dari menganggotai pertubuhan itu.
Atas inisiatif AS, Perhimpunan Agung PBB pada Khamis mengadakan proses undian mengenai keanggotaan Rusia dalam UNHRC susulan krisis di Ukraine.
Undian menyaksikan 93 menyokong dan 24 membantah, manakala 58 negara anggota berkecuali.
Krisis Rusia-Ukraine, yang bermula 24 Feb, telah menimbulkan kemarahan antarabangsa, dengan Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat, dan United Kingdom dan beberapa negara lain, melaksanakan sekatan kewangan yang keras ke atas Moscow.
Menurut PBB, sekurang-kurangnya 1,611 orang awam telah terbunuh di Ukraine dan 2,227 cedera, manakala lebih 4.3 juta rakyat Ukraine telah melarikan diri ke negara lain.
-- BERNAMA