Rusia, Iran tandatangani Perjanjian Perkongsian Strategik Komprehensif untuk tingkatkan kerjasama - Putin

Bernama
Januari 17, 2025 06:00 MYT
Vladimir Putin (kiri) berjabat tangan dengan rakan sejawatannya dari Iran, Massoud Pezeshkian semasa kedua-dua pemimpin itu mengadakan pertemuan di Moscow, Rusia, pada Jumaat. - Gambar Reuters
MOSCOW: Presiden Rusia, Vladimir Putin memuji penandatanganan Perjanjian Perkongsian Strategik Komprehensif antara Rusia dan Iran, yang disifatkan akan meningkatkan kerjasama dalam semua sektor.
Bercakap pada pertemuan dengan Presiden Iran, Massoud Pezeshkian, di sini, Putin menegaskan, kepentingan dokumen asas itu dalam mempererat hubungan dua hala.
"Lawatan anda hari ini sangat bermakna, kerana kita bukan sahaja berpeluang membincangkan semua bidang kerjasama, tetapi juga telah menandatangani perjanjian asas utama antara Rusia dan Iran mengenai perkongsian strategik komprehensif," kata Putin.
Beliau turut menyatakan bahawa Moscow dan Tehran telah berusaha untuk perjanjian itu dalam tempoh yang panjang.
"Saya amat gembira kerja ini telah diselesaikan. Ia penting kerana akan membuka peluang baharu dan memberikan dorongan tambahan untuk hampir semua bidang kerjasama kita," katanya. - BERNAMA
#Rusia dan Iran #Vladimir Putin #Massoud Pezeshkian #Perkongsian Strategik Komprehensif
;