Rusia dijangka campur tangan pertahan pemerintahan Bashar Al-Assad
Agensi
Disember 8, 2024 19:59 MYT
Disember 8, 2024 19:59 MYT
ALEPPO: Rusia dijangka masuk campur seterusnya mempertahankan pemerintahan presiden, Bashar Al-Assad selepas kumpulan pembebas merampas bandar-bandar utama lain daripada cengkamannya.
Ringkasan AI
- Rusia dijangka campur tangan mempertahankan Bashar Al-Assad kerana kerajaan Syria sangat bergantung kepada sokongan Rusia dan Iran.
- Tentera Syria semakin lemah kerana kehilangan semangat dan kepercayaan terhadap kemenangan konflik ini.
- Kuasa besar seperti Rusia, AS, dan Turkiye terlibat dalam konflik Syria hanya untuk kepentingan masing-masing, walaupun rundingan damai telah diusahakan beberapa kali.
Ketua Pegawai Eksekutif IRIS Institute, Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim berkata, campur tangan itu diperlukan memandangkan kerajaan dan tentera Syria amat bergantung kepada bantuan dan kekuatan daripada Rusia dan juga Iran.
"Rusia akan campur tangan bila-bila masa dan masuk lebih kuat untuk membantu Bashar, mempertahankan Kerajaannya.
"Semenjak Rusia dan Iran membantu Syria, kerajaan dan tentera Syria sebenarnya melemah sebab mereka begitu bergantung kepada bantuan dan kekuatan daripada Rusia dan Iran bahkan kebanyakan tentera Bashar sendiri, seakan hilang semangat dan hilang kepercayaan kepada Bashar untuk memenangi konflik ini.
"Sebab itu kita tengok kita boleh faham, sebahagian daripada tentera kenapa mereka lari, sebab mereka sendiri pun rasa macam mungkin pengakhiran tidak berpihak kepada mereka," katanya.
Beliau berkata demikian mengenai konflik syria dalam Buletin AWANI pada Ahad.
Namun begitu, penglibatan kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS), Rusia, Turkiye, atau Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam konflik ini dilihat hanya berlandaskan sejauh mana ia menguntungkan kepentingan negara masing-masing.
"Walaupun pada awalnya, Rusia dan Iran menyokong Bashar tetapi mereka juga menghantar wakil menteri luar, atau Kementerian Luar mereka untuk berunding.
"Sepanjang tempoh peperangan ini berlaku, wujud beberapa siri rundingan yang banyak sebelum ini. Malah, sebelum dan selepas COVID-19, ada juga usaha untuk mewujudkan kembali rundingan tersebut," katanya lagi.