Rusia denda Google beberapa kali kerana langgar syarat kandungan
Bernama
Februari 21, 2025 21:32 MYT
Februari 21, 2025 21:32 MYT
Denda itu dikenakan kerana kegagalan Google menghapuskan kandungan berunsur ekstremisme, berita palsu serta bahan yang menghasut rusuhan. - Reuters
MOSCOW: Rusia mendenda syarikat teknologi Amerika Syarikat, Google LLC, beberapa kali pada 2024 atas pelanggaran kandungan, menurut pihak berkuasa pada Jumaat, lapor Xinhua.
"Pada 2024, mahkamah telah mengenakan denda terhadap Google LLC sebanyak empat kali dengan jumlah keseluruhan sebanyak 15.1 juta rubel (kira-kira AS$170,000)," kata badan pemantau telekom Rusia, Roskomnadzor, seperti dipetik oleh agensi berita TASS.
Denda itu dikenakan kerana kegagalan Google menghapuskan kandungan berunsur ekstremisme, berita palsu serta bahan yang menghasut rusuhan besar-besaran daripada platform perkongsian videonya, YouTube. Google turut dikenakan denda atas kandungan berkaitan perkhidmatan VPN dan bahan lain yang menyalahi undang-undang.
Pada Isnin, Mahkamah Daerah Tagansky di Moscow mengenakan satu lagi denda sebanyak 3.8 juta rubel (kira-kira AS$43,000) terhadap Google.
Penalti itu dikenakan kerana syarikat itu gagal menurunkan maklumat salah mengenai Angkatan Tentera Rusia, seruan untuk membiayai tentera Ukraine, hasutan rusuhan besar-besaran serta bahan yang mempromosikan hubungan seksual tidak selari dengan moral tradisional, menurut Roskomnadzor.
Pengawal selia itu turut menyatakan bahawa kandungan terbabit termasuk video yang menjelaskan kaedah untuk memintas sekatan ke atas sumber yang diharamkan di Rusia serta maklumat yang telah diisytiharkan oleh mahkamah Rusia sebagai dilarang untuk diedarkan di negara itu.
-- BERNAMA