Rusia dakwa serangan Ukraine rosakkan jambatan Crimea

Astro Awani
Jun 23, 2023 08:45 MYT
Beberapa gambar tular menunjukkan seolah-olah terdapat lubang kerosakan pada jambatan tersebut. - Foto REUTERS
SATU serangan didakwa dilancarkan oleh Ukraine menyebabkan sebuah jambatan yang menghubungkan semenanjung Crimea alami kerosakan teruk.
Antara lain, jambatan itu menghubungkan semenanjung Crimea ke wilayah selatan Ukraine yang sebahagiannnya diduduki oleh Rusia.
Gabenor Crimea yang dilantik Rusia, Sergei Aksyonov mengesahkan serangan itu melanda Jambatan Chongar pada Khamis.
Dalam satu kenyataan di aplikasi Telegram, beliau berkata, setakat ini, tiada mangsa dilaporkan meninggal dunia berikutan serangan tersebut.
Jambatan itu menghubungkan Crimea yang dirampas daripada Ukraine pada 2014, ke wilayah Kherson.
Gabenor Kherson yang dilantik Rusia, Vladimir Saldo mendakwa tentera Ukraine melancarkan serangan terhadap beberapa jambatan berhampiran Chongar.
Beberapa gambar tular menunjukkan seolah-olah terdapat `lubang’ kerosakan pada jambatan tersebut.
Serangan itu berlaku ketika Ukraine melancarkan serangan balas untuk menawan semula wilayah yang diduduki tentera Rusia.
Crimea kerap menjadi sasaran serangan udara terutamanya serangan dron sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
#Jambatan Crimea #serangan #Rusia #Ukraine
;