Rusia dakwa kuasai satu lagi penempatan di wilayah Donetsk, Ukraine

Bernama
Ogos 13, 2024 21:30 MYT
Tentera Rusia dilihat menjalankan operasi di daerah Sudzhansky di wilayah Kursk di Rusia, 9 Ogos 2024. (Foto AP)
MOSCOW: Kementerian Pertahanan Rusia pada Selasa mendakwa telah menguasai kampung Lysychne di wilayah Donetsk timur Ukraine, lapor Agensi Anadolu (AA).
Rusia juga mendakwa tentera negara itu telah menemukan satu kumpulan sabotaj Ukraine di hutan wilayah Kursk dan berjaya melumpuhkannya selain merampas "terminal Starlink".
Menurut Kementerian Pertahanan, jet pejuang Su-34 Rusia telah melancarkan serangan ke atas tentera dan peralatan ketenteraan Ukraine di wilayah Kursk berdasarkan maklumat yang diterima daripada unit pengintip.
"Secara keseluruhan, sejak permulaan operasi khas ketenteraan, sebanyak 638 pesawat, 279 helikopter, 29,823 kenderaan udara tanpa pemandu, 569 sistem peluru berpandu antipesawat, 17,046 kereta kebal dan kenderaan tempur berperisai lain, 1,400 kenderaan pelancar roket, 13,198 artileri medan dan mortar, serta 24,686 kenderaan tentera khas telah dimusnahkan," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#Rusia #Ukraine #Kursk #Donetsk