Rusia dakwa barat guna isu penahanan Navalny untuk alih perhatian dunia
Astro Awani
Februari 4, 2021 06:42 MYT
Februari 4, 2021 06:42 MYT
MOSCOW: Rusia menolak kritikan blok barat berhubung isu penahanan pemimpin pembangkang Alexei Navalny.
Ia menyifatkan tindakan itu sebagai campur tangan dalam urusan domestik Kremlin.
Jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova juga menyifatkan kritikan sebagai usaha memburukkan imej Rusia di peringkat global.
“Nampaknya pegawai barat enggan melihat apa yang berlaku di negara mereka, apa yang berlaku sekarang di Kesatuan Eropah, apa yang berlaku bulan ini di Amerika Syarikat.
“Mereka sengaja mengalihkan perhatian dunia dari situasi di negara mereka sendiri, dengan fokus pada pandangan mereka mengenai situasi di Rusia,” katanya.
Selasa lalu, Mahkamah Moscow memerintahkan Navalny dipenjara selama dua setengah tahun.
Keputusan itu mencetus tunjuk perasaan anti-kerajaan besar-besaran.
Ia turut mengundang kritikan pemimpin dunia lain.
Amerika, Perancis dan Jerman senada penahanan Navalny sebagai tidak wajar dan mendesak dia dibebaskan segera.
#Rusia
#Kesatuan Eropah
#Alexei Navalny
#penahanan pemimpin pembangkang
#Maria Zakharova
#alih perhatian dunia