Rusia, China sepakat bangunkan loji kuasa nuklear di bulan bermula 2033

Astro Awani
Mac 6, 2024 09:30 MYT
Semua persoalan teknikal berhubung projek itu telah diselesaikan selain mencari penyelesaian mengenai cara menyejukkan reaktor nuklear. - Gambar hiasan
MOSCOW: Rusia dan China sedang mempertimbangkan untuk meletakkan loji kuasa nuklear dan penempatan di bulan dari tahun 2033 hingga 2035.
Ketua Agensi Angkasa Lepas Rusia (ROSCOSMOS), Yuri Borisov berkata, kedua-dua negara kuasa besar itu telah bekerjasama dalam program lunar dan Moscow akan dapat menyumbang dengan kepakarannya mengenai "tenaga angkasa nuklear."
"Hari ini kami serius mempertimbangkan projek menghantar dan memasang unit kuasa di permukaan bulan bersama-sama dengan rakan sekerja kami dari China.
"Tetapi kami menghadapi cabaran penjanaan kuasa, ini kerana panel solar tidak akan dapat membekalkan tenaga elektrik yang mencukupi untuk menggerakkan penempatan bulan, manakala kuasa nuklear boleh.
"Ini adalah cabaran yang sangat serius, justeru ia harus dilakukan dalam mod automatik, tanpa kehadiran manusia," katanya.
Borisov, yang merupakan bekas Timbalan Menteri Pertahanan juga bercakap mengenai rancangan Rusia untuk membina kapal angkasa kargo berkuasa nuklear.
Beliau berkata, semua persoalan teknikal berhubung projek itu telah diselesaikan selain mencari penyelesaian mengenai cara menyejukkan reaktor nuklear.
"Kami sememangnya mengusahakan bot tunda angkasa. Struktur siklopean yang besar ini boleh mengangkut kargo besar dari satu orbit ke orbit yang lain, mengumpul serpihan angkasa dan terlibat dalam banyak aplikasi lain," tambah Borisov lagi.
Para pegawai Rusia telah bercakap sebelum ini mengenai rancangan yang bercita-cita tinggi iaitu melombong di bulan satu hari nanti.
Bagaimanapun, program angkasa lepas Rusia telah mengalami beberapa kemunduran dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Misi bulan pertamanya dalam tempoh 47 tahun gagal tahun lepas selepas kapal angkasa Luna-25 Rusia berpusing di luar kawalan dan terhempas.
Moscow berkata, ia akan melancarkan misi bulan selanjutnya dan kemudian meneroka kemungkinan misi kru bersama Rusia-China dan juga pangkalan bulan.
Pada bulan lalu, China berkata, misi itu bertujuan untuk meletakkan angkasawan China pertama di bulan sebelum 2030.
Presiden Rusia, Vladimir Putin bulan lalu menolak amaran oleh Amerika Syarikat bahawa Moscow merancang untuk meletakkan senjata nuklear di angkasa sebagai palsu berkata, ia adalah satu muslihat untuk menarik Rusia ke dalam rundingan senjata mengikut syarat Barat. - Agensi
#Amerika Syarikat #China #Rusia #Angkasa
;