Rusia boleh gantikan eksport bijirin Ukraine - Putin

Bernama
Julai 24, 2023 16:22 MYT
Mengenai perjanjian bijirin yang membenarkan eksport bijirin Ukraine merentasi Laut Hitam selama kira-kira setahun, Putin menulis bahawa koridor eksport itu telah hilang matlamatnya untuk memenuhi kepentingan kemanusiaan. - Gambar fail/AP
MOSCOW: Presiden Rusia Vladimir Putin berkata Rusia bersedia menggantikan bekalan bijirin Ukraine, beberapa hari selepas Moscow menghentikan perjanjian antarabangsa untuk mengeksport bijirin dari pelabuhan Ukraine, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
"Saya memberi jaminan bahawa negara kita mampu menggantikan bijirin Ukraine secara komersial dan secara percuma, kerana kami menjangkakan satu lagi rekod penuaian tahun ini," tulis Putin dalam artikel untuk media Afrika yang diterbitkan di laman sesawang Kremlin pada Ahad.
Penerbitan artikel itu dibuat di tengah-tengah persiapan untuk sidang kemuncak Rusia-Afrika yang akan berlangsung di bandar St Petersburg, Rusia bermula Khamis.
Menurut artikel itu, walaupun sekatan yang dikenakan oleh Barat, Rusia akan terus bekerja "bersungguh-sungguh" dalam membekalkan bijirin, makanan, baja dan lain-lain ke negara-negara Afrika.
Pada 2022, Rusia mengeksport 11.5 juta tan bijirin ke Afrika dan hampir 10 juta tan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
"Sekatan terhadap eksport kami menyukarkan kami untuk mengeksport makanan Rusia ke negara membangun," kata Putin.
Mengenai perjanjian bijirin yang membenarkan eksport bijirin Ukraine merentasi Laut Hitam selama kira-kira setahun, Putin menulis bahawa koridor eksport itu telah hilang matlamatnya untuk memenuhi kepentingan kemanusiaan.
Daripada hampir 33 juta tan bijirin yang dieksport melalui perjanjian itu, majoritinya memasuki negara berpendapatan tinggi dan berpendapatan sederhana tinggi, katanya.
-- BERNAMA
#Vladimir Putin #Rusia #Ukraine #koridor eksport #bijirin
;