Rusia bangunkan senjata nuklear teknologi baru - Putin

APTN
Mac 1, 2018 20:59 MYT
Presiden Rusia, Vladimir Putin mendakwa negara itu adalah yang pertama membangunkan senjata nuklear dengan teknologi seumpamanya - Foto Reuters
Presiden Rusia Vladimir Putuin mendakwa negara itu berjaya membangunkan rangkaian senjata nuklear teknologi baru, yang tidak boleh dikesan.
Senjata berkenaan telah diuji dan tidak boleh dipintas, menandakan kejayaan teknologi dalam bidang pembangunan senjata nuklear, dan melonjakkan kemampuan pertahanan serta imej Kremlin.
Bagaimanapun pemerhati melihat, ia meningkatkan kebimbangan berhubung perlumbaan penghasilan senjata untuk abad ke-21.
Kemampuan baru Rusia ini didedahkan Putin ketika ucapan kebertanggungjawabannya, yang antara lain menggariskan pelan dasar utamanya, menjelang pilihan raya presiden, dalam tempoh kurang tiga minggu lagi.
Senjata yang didedahkan dalam video pembentangan Putin itu menunjukkan rangkaian peluru berpandu, dron nuklear bawah laut dan peluru berpandu hypersonik yang didakwanya pertama di dunia.
Dron bawah laut yang dihasilkan Rusia juga mampu merentasi jarak antara benua dan mampu membawa peledak nuklear yang boleh mensasarkan kapal pengangkut seperti yang dimiliki Amerika Syarikat.
Satu lagi senjata yang dikenali sebagai Avangard, merupakan peluru berpandu antara benua, yang boleh terbang pada 20 kali kelajuan bunyi.
Sementara itu, satu lagi sistem senjata diperkenalkan dikenali sebagai Kinzhal, kini ditempatkan di selatan wilayah tentera selatan.
Kinzhal boleh terbang pada 10 kali kelajuan bunyi, pada jarak 2,000 kilometer.
"Mereka (negara-negara Barat), perlu memahami realiti baru ini dan mengetahui apa yang dibentangkan ini, bukan satu penipuan," kata Putin.
Tegas Putin, kewujudan senjata baru ini menjadikan sistem pertahanan anti-peluru berpandu yang dibangunan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) tidak lagi relevan.
Pengumuman ini dibuat ketika Putin dijangka mempertahankan penggalnya untuk kali ke-4.
Dengan perkembangan ini, Putin menegaskan pakar ketenteraan dan diplomat Kremlin kini sedia berbincang mengenai sistem senjata baru dengan Amerika Syarikat.
#Amerika Syarikat #kremlin #nuklear #pilihan raya #Rusia #senjata #tentera #video #Vladimir Putin