Rusia bakal tinggalkan ISS selepas 2024
Astro Awani
Julai 27, 2022 08:45 MYT
Julai 27, 2022 08:45 MYT
RUSIA akan meninggalkan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) selepas 2024 di tengah-tengah ketegangan dengan Barat bagi memberi tumpuan kepada usaha membina pos luar orbitnya sendiri.
Pengesahan langkah yang sudah lama dibincangkan itu dibuat ketika hubungan antara Kremlin dan Barat terjejas berhubung campur tangan tentera Moscow di Ukraine, serta beberapa sekatan terhadap Rusia, termasuk sektor angkasa lepasnya.
"Sudah tentu kami akan memenuhi semua kewajipan kami kepada rakan kongsi, tetapi keputusan untuk meninggalkan stesen ini selepas 2024, sudah dibuat," kata ketua agensi angkasa Rusia, Roscosmos, Yury Borisov pada Selasa.
Bercakap ketika menghadiri mesyuarat dengan Presiden Vladimir Putin, Borisov yang baru dilantik bulan ini berkata: "Saya fikir, pada ketika itu nanti, kita sudah mula membina stesen orbit Rusia sendiri."
Pengumuman tersebut sekali gus menimbulkan persoalan mengenai masa depan ISS yang berusia 24 tahun, yang ketika ini dikendalikan beberapa negara.
Pakar angkasa lepas berkata, pemergian Rusia dari ISS akan memberi kesan serius kepada sektor angkasa lepas negara itu dan memberi tamparan hebat kepada program penerbangan anak kapalnya, sumber utama kebanggaan Rusia.
Menurut jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Ned Price, dengan mengambil tindakan tersebut, Rusia menghantar isyarat jelas mengenai hubungan antara dua negara itu.
"Jelas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine telah mengubah hubungan kami secara asas.
"Tetapi masih terdapat aspek dalam hubungan kami, termasuk usaha bersama kami dalam sains, usaha bersama dalam keselamatan, serta hubungan antara rakyat, yang kita ingin terus dipelihara.
"Tetapi Rusia menghantar isyarat sebaliknya di sini," katanya.
ISS dikendalikan Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) Amerika Syarikat bersama Rusia, Eropah, Jepun dan Kanada.
Ia menjadi simbol kerjasama antarabangsa pasca perang dingin atas nama sains.
Kompleks ISS seluas padang bola itu digunakan untuk menjalankan penyelidikan saintifik dalam sifar graviti dan menguji peralatan untuk perjalanan angkasa lepas.
Ia biasanya mempunyai tujuh anak kapal dalam satu masa dan berada di angkasa untuk tempoh beberapa bulan.
NASA dalam kenyataannya berkata, agensi itu belum dimaklumkan secara rasmi berhubung penarikan diri Rusia namun kekal komited untuk memastikan stesen itu terus beroperasi sehingga 2030.