Rusia bakal perkenal Rossgram, ganti Instagram
Agensi
Mac 18, 2022 21:00 MYT
Mac 18, 2022 21:00 MYT
Usahawan teknologi Rusia bersedia untuk melancarkan aplikasi perkongsian gambar di pasaran domestik selepas Instagram disekat pihak berkuasa minggu ini.
Perkhidmatan baharu itu yang dikenali sebagai Rossgram akan dilancarkan pada 28 Mac ini dan mempunyai fungsi tambahan seperti pendanaan berkumpulan (crowdfunding) dan akses berbayar untuk beberapa kandungan.
"Rakan kongsi saya Kirill Filimonov dan kumpulan pemaju kami sudah bersedia dan memutuskan untuk tidak melepaskan peluang mencipta rangkaian sosial popular akan menjadi pilihan ramai," kata Alexander Zobov, pengarah perhubungan awam inisiatif itu.
Pengawal selia komunikasi Rusia, Roskomnadzor menyekat akses kepada Instagram mulai Isnin selepas Meta Platforms (FB.O) berkata, ia akan membenarkan pengguna media sosial di Ukraine menyiarkan mesej seperti "kematian kepada penceroboh Rusia".
Meta yang juga memiliki Facebook berkata, perubahan sementara dalam dasar kandungan berunsur kebencian hanya terpakai kepada Ukraine selepas pencerobohan Rusia dan adalah tidak wajar untuk menghalang Ukraine "menyatakan tentangan dan kemarahan mereka terhadap pasukan tentera yang menceroboh".
Rusia, yang juga telah mengharamkan Facebook telah membuka siasatan terhadap Meta dan pendakwa raya meminta mahkamah untuk menamakan gergasi teknologi itu sebagai "organisasi ekstremis".
Kes ini akan dibicarakan di mahkamah Isnin depan.