Rusia bakal penjarakan pihak sebar maklumat palsu mengenai tenteranya

Agensi
Mac 4, 2022 21:43 MYT
Pentadbiran Rusia mengatakan bahawa maklumat palsu telah disebarkan dengan sengaja oleh musuh Rusia. - Russian Defense Ministry Press Service via AP
MOSCOW: Parlimen Rusia pada Jumaat meluluskan undang-undang yang mengenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun terhadap mereka yang menyebarkan maklumat palsu dengan sengaja mengenai tenteranya.
Ia disifatkan undang-undang untuk melawan apa yang disifatkan sebagai 'maklumat peperangan' mengenai konflik di Ukraine.
Pentadbiran Rusia mengatakan bahawa maklumat palsu telah disebarkan dengan sengaja oleh musuh Rusia seperti Amerika Syarikat dan sekutu Eropah Barat dalam usaha untuk menyemai perbalahan dalam kalangan rakyat Rusia.
Penggubal undang-undang Rusia meluluskan pindaan kepada kanun jenayah menjadikan penyebaran maklumat palsu sebagai kesalahan jenayah yang boleh dihukum dengan denda atau hukuman penjara.
"Jika maklumat palsu itu membawa kepada kesan serius, pihak disabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun," kata Dewan Rakyat Russia yang dikenali sebagai Duma, dalam satu kenyataan.
"Menjelang esok, undang-undang ini akan memberikan hukuman yang sangat berat ke atas mereka yang berbohong dan membuat kenyataan yang memburukkan angkatan tentera kita," kata Vyacheslav Volodin, Pengerusi Duma.
Pegawai Rusia tidak menggunakan perkataan "pencerobohan" dan menuduh media Barat gagal melaporkan apa yang mereka anggap sebagai "pembunuhan beramai-ramai" bangsa Rusia di Ukraine.
#Rusia #Ukraine #penjara #tentera #perang #maklumat palsu #Duma
;