Rusia, AS bakal berbincang dalam beberapa hari lagi - Kementerian Luar Rusia
Bernama
Mac 12, 2025 20:15 MYT
Mac 12, 2025 20:15 MYT
Pegawai Rusia dan Amerika Syarikat (AS) boleh mengadakan rundingan dalam beberapa hari akan datang, lapor Agensi Berita Rusia, memetik jurucakap Kementerian Luar Maria Zakharova. - Gambar fail/REUTERS
MOSCOW: Pegawai Rusia dan Amerika Syarikat (AS) boleh mengadakan rundingan dalam beberapa hari akan datang, lapor Agensi Berita Rusia, memetik jurucakap Kementerian Luar Maria Zakharova.
Beliau membuat kenyataan itu selepas Presiden AS Donald Trump mengumumkan pada awal Selasa bahawa pegawai dari kedua-dua negara boleh bertemu pada Selasa atau Rabu.
"Kami tidak menolak kemungkinan untuk berhubung dengan wakil AS dalam beberapa hari akan datang," kata Zakharova kepada soalan mengenai perkara itu.
Trump juga berkata beliau merancang untuk menghubungi Presiden Rusia Vladimir Putin dalam beberapa hari akan datang untuk membincangkan situasi di sekitar Ukraine. Menurut Presiden AS, 'Penyelesaian memerlukan kerjasama kedua-dua pihak.'"
Terdahulu pada Selasa, pasukan perunding AS dan Ukraine mengadakan perbincangan di Jeddah, Arab Saudi.
Satu kenyataan bersama selepas perbincangan itu menyatakan, antara lain, bahawa Kyiv bersedia untuk menggubal gencatan senjata selama 30 hari dan menandatangani perjanjian mineral dengan Washington.
Sebagai balasan, AS berjanji untuk segera memulakan semula pemberian bantuan ketenteraan dan perkongsian risikan kepada Ukraine.
Pasukan AS diketuai oleh Setiausaha Negara Marco Rubio dan Penasihat Keselamatan Negara Mike Waltz. Ukraine diwakili oleh ketua staf Volodymyr Zelenskyy, Andrey Yermak, Menteri Luar Andrii Sybiha dan Menteri Pertahanan Rustem Umerov.
-- BERNAMA