AS, Rusia bakal adakan misi bersama ke Zuhrah

Bernama
November 21, 2021 13:37 MYT
Agensi angkasa AS bersedia membincangkan rancangan selanjutnya untuk penerokaan Zuhrah dengan Rusia. - Foto: NASA/JPL-Caltech
MOSCOW: Rusia dan Amerika Syarikat (AS) bersetuju mengadakan misi penerokaan bersama ke Zuhrah (Venus), lapor Sputnik memetik ketua agensi angkasa Roscosmos Dmitry Rogozin.
"Kami bersetuju untuk adakan misi bersama ke Zuhrah dengan Amerika," kata Rogozin dalam program Soloviev Live YouTube pada Sabtu.
Rusia merancang menghantar Venera-D ke Zuhrah pada November 2029. Misi itu pada awalnya dirancang di bawah program usahasama Rusia-AS. Bagaimanapun, pada tahun lepas Roscosmos memaklumkan misi Venera-D akan menjadi projek bebas tanpa kerjasama antarabangsa.
Rusia juga menyasarkan untuk menghantar misi penerokaan Zuhrah pada Jun 2031 dan satu lagi pada Jun 2034, untuk mengkaji atmosfera planet itu selain mengumpul beberapa sampel tanah.
Pada Jun, jurucakap NASA memberitahu Sputnik bahawa agensi angkasa AS bersedia membincangkan rancangan selanjutnya untuk penerokaan Zuhrah dengan Rusia.
-- BERNAMA
#Venus #Zuhrah #Amerika Syarikat #Rusia
;