Rusia arah tentera pulang ke pangkalan, sifatkan ia 'latihan' semata-mata

Agensi
Februari 15, 2022 18:51 MYT
Jurucakap Kementerian Pertahanan Rusia, Mejar Jeneral Igor Konashenkov berkata unit tentera di selatan dan barat Rusia kini kembali semula ke pangkalan selepas menjalani latihan ketenteraan. - fotoREUTERS
UNIT tentera di selatan dan barat Rusia kini dikerah kembali semula ke pangkalan selepas menjalani latihan ketenteraan.
Perkara itu dimaklumkan jurucakap Kementerian Pertahanan Rusia, Mejar Jeneral Igor Konashenkov dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Kementerian itu turut memuat naik video aset ketenteraan seperti kereta kebal dan AMPV bersiap-siaga untuk pulang ke pangkalan masing-masing.
Bagaimanapun, beliau berkata beberapa siri latihan ketenteraan lain akan diteruskan.
Tentera dan peralatan ketenteraan meninggalkan sempadan selatan yang bersempadan dengan Ukraine di tengah-tengah ketegangan yang dilaporkan semakin meruncing di rantau itu.
Terdahulu, Washington, London, dan Kiev mendakwa bahawa Rusia merancang "pencerobohan" ke atas Ukraine.
Rusia membidas dakwaan itu dengan menegaskan bahawa keseluruhan naratif "pencerobohan" itu palsu semata-mata.
Moscow dengan tegas menyatakan ia hanyalah alasan untuk Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengerahkan lebih banyak tentera dan peralatan ketenteraan dekat dengan sempadan Rusia.
Semalam, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, menggesa semua rakyat Malaysia yang berada di Ukraine dan belum berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di Kiev supaya segera menghubungi dan mendaftar di pejabat konsular itu di sana.
#Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara #Ukraine #Rusia #konflik Rusia Ukraine
;