Rusia arah jet pejuang iringi pesawat peninjau AS di Laut Hitam

Reuters
Disember 11, 2021 21:47 MYT
Insiden itu berlaku ketika kebimbangan Barat terhadap pertambahan tentera Rusia berhampiran sempadan Ukraine. - Gambar/ AP Newsroom
MOSCOW: Rusia menghantar jet pejuangnya untuk mengiringi pesawat peninjau tentera Amerika Syarikat (AS) yang melalui Laut Hitam, agensi berita TASS memetik kenyataan Kementerian Pertahanan Rusia pada Jumaat.
Insiden itu berlaku ketika kebimbangan Barat terhadap pertambahan tentera Rusia berhampiran sempadan Ukraine.
Rusia memberi amaran tentang bahaya konfrontasi besar-besaran dengan Barat melainkan AS dan sekutunya memikirkan secara serius jaminan keselamatan untuk Moscow, selain turut meningkatkan prospek krisis peluru berpandu di Eropah.
Hal itu dinyatakan Timbalan Menteri Luar Rusia, Sergei Ryabkov pada taklimat di Moscow ketika ketegangan memuncak antara Rusia dan dan kuasa Barat mengenai Ukraine dan kumpulan tentera Rusia di sempadannya.
Dalam panggilan video pada Selasa, Presiden Vladimir Putin meminta Presiden AS, Joe Biden untuk memberi jaminan keselamatan kepada Rusia bagi menghentikan penguasaan NATO ke arah timur.
Hubungan dua hala antara AS dan Rusia berada pada tahap terendah sejak Kesatuan Soviet berpecah pada 1991.
Rusia berkata mereka sedang 'tunggu dan lihat' walaupun Ryabkov mengakui tidak mengharapkan jaminan itu diperolehi.
"Sekiranya lawan kita di pihak lain - terutamanya AS, jika mereka menolak, dan cuba dan meneruskannya, keadaan akan menjadi lebih teruk," kata Ryabkov.
Ryabkov mengkritik AS dan sekutu NATO kerana meningkatkan keupayaan ketenteraan mereka di Eropah Timur.
"Kita perlu mengelak krisis peluru berpandu baharu di Eropah. Kemunculan senjata jarak dekat dan sederhana di wilayah ini adalah laluan terus untuk meningkatkan konfrontasi," katanya.
#Russia #Ukraine #Amerika Syarikat #Laut Hitam
;