Rusia akan batalkan perjanjian bijirin laut Hitam kecuali permintaannya dipenuhi - Putin

Bernama
Julai 14, 2023 20:29 MYT
Putin berkata ada kemungkinan Rusia menggantung penyertaannya dalam perjanjian itu sehingga janji yang dibuat kepada Moscow dalam perjanjian itu dilaksanakan. - Gambar fail/AP
MOSCOW: Presiden Rusia Vladimir Putin berkata sebarang lanjutan perjanjian yang membenarkan bekalan bijirin kritikal dieksport dari pelabuhan Ukraine akan bergantung kepada sama ada permintaan Moscow dipenuhi, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) Jerman.
"Kami sedang memikirkan kaedah untuk meneruskannya, masih ada beberapa hari lagi," kata Putin dalam temu bual dengan wartawan Pavel Zarubin di Telegram yang disiarkan oleh televisyen kerajaan pada Khamis.
Beliau berkata ada kemungkinan Rusia menggantung penyertaannya dalam perjanjian itu sehingga janji yang dibuat kepada Moscow dalam perjanjian itu dilaksanakan.
Selepas perang tercetus, Rusia menyekat pelabuhan Laut Hitam Ukraine selama berbulan-bulan, menghalang eksport bijirin melalui laut, mencetuskan kebimbangan mengenai kenaikan harga atau kebuluran di beberapa kawasan memandangkan Ukraine merupakan antara pembekal terbesar bijirin dunia.
Pada Julai 2022, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Turkiye menjadi perantara untuk menamatkan sekatan dengan mewujudkan perjanjian bijirin, sekali gus membolehkan berjuta-juta tan bijirin dan makanan lain dieksport.
Perjanjian itu dilanjutkan pada Mei selama dua bulan dan akan tamat pada Isnin.
Sejak peringkat awal lagi, Moscow menegaskan bahawa sebagai pertukaran atas kerjasamanya itu, Rusia mahu sekatan ke atas eksport makanan dan baja Rusia sendiri ditarik balik.
Kremlin, khususnya, sedang mencari jalan bagi melepaskan sekatan Barat ke atas pembayaran, logistik dan insurans perkapalannya.
Pada Rabu, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres dikatakan telah menulis surat kepada Putin merayu agar perjanjian itu diteruskan.
Putin berkata beliau belum menerima surat itu.
-- BERNAMA
#PBB #kenaikan harga #kebuluran #pembekal terbesar
;