Rusia adakan pilihan raya di wilayah Ukraine

Astro Awani
September 8, 2023 07:30 MYT
Pilihan raya itu melibatkan puluhan wilayah serata Rusia bagi memilih gabenor dan penggubal undang-undang baharu. - Foto REUTERS
NEW YORK: Pihak berkuasa Rusia akan mengadakan Pilihan Raya Negeri pada 10 September meliputi wilayah Ukraine yang dirampasnya sejak tahun lalu.
Pilihan raya itu melibatkan puluhan wilayah serata Rusia bagi memilih gabenor dan penggubal undang-undang baharu.
Pilihan raya tersebut menjadi isu hangat di Persidangan Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat.
Sementara itu, wakil dari Ukraine dan Amerika Syarikat (AS) menyifatkan pilihan raya tersebut sebagai satu bentuk retorikal dan permainan Rusia untuk menuntut dan merampas beberapa wilayah Ukraine.
Bagaimanapun, wakil Rusia di persidangan PBB, berkata kekejaman rejim Kiev di Donbass, Luhansk dan Zaporizhzhia menjadi penyebab utama mengapa rakyat ingin menjadikan masa depan mereka bersama Rusia.
"Jenayah manusia rejim Kiev, keinginan mereka untuk melucutkan identiti Rusia rakyat Rusia adalah sebab utama mengapa rakyat Donbass, Luhansk dan Zaporizhzhia mengundi secara aktif dan sedar untuk masa depan mereka dengan Rusia," katanya.
Parti utama dan popular dalam pilihan raya ini ialah United Russia, parti yang setia kepada Putin yang mendominasi politik Rusia.
Parti lain seperti Parti Komunis dan Parti Demokratik Liberal yang nasionalis turut tersenarai dalam pilihan raya negeri kali ini.
Pilihan Raya Negeri Rusia dijadualkan pada 10 September 2023, manakala pengundian awal di beberapa negeri adalah pada 8 dan 9 September.
#pilihan raya negeri #Rusia #Ukraine #PBB
;