Rusa dengan 7kg plastik dalam perut ditemukan mati di Taman Negara Thailand

Bernama
November 26, 2019 06:19 MYT
Rusa seberat 200kg itu dipercayai telah mati sekurang-kurangnya dua hari sebelum ditemukan. - BERNAMA
Seekor rusa liar ditemukan mati bersama tujuh kilogram (kg) sisa plastik termasuk beg plastik dan sarung tangan getah dalam perutnya.
Bangkai rusa berusia 10 tahun itu ditemukan di Taman Negara Khun Sathan di Wilayah Nan, Utara Thailand pada Isnin.
Rusa seberat 200kg itu dipercayai telah mati sekurang-kurangnya dua hari sebelum ditemukan.
Pengarah Pejabat Wilayah 13 Kawasan Dilindungi (Phrae) Kriangsak Thanompan berkata laporan autopsi menemui 7kg plastik dalam perut haiwan itu termasuk beg plastik, paket bungkusan kopi dan mi segera, sapu tangan, pakaian dalam, tali dan sarung tangan getah.
"Sisa plastik dalam perut rusa itu terkumpul selama beberapa tahun. Kami percaya plastik itu adalah antara punca kematian haiwan berkenaan," katanya.
"Kita perlu mengurangkan penggunaan plastik terutamanya plastik sekali guna," katanya dalam kenyataan.
Penemuan yang menyedihkan itu mencetuskan kesedaran terhadap pembuangan sisa plastik khususnya di taman-taman negara.
Pada Ogos, seekor anak dugong, Mariam, mati berikutan jangkitan di perut selepas menelan cebisan plastik.
Thailand adalah antara pengguna plastik terbesar dunia. Mulai Januari tahun depan, pengendali utama termasuk rangkaian kedai serbaguna akan menghentikan penggunaan plastik sekali guna.
-- BERNAMA
#beg plastik #mati #rusa #sarung tangan getah #sisa plastik #Taman Negara Khun Sathan #Thailand #Wilayah Nan
;