Rupert Murdoch letak jawatan Pengerusi Fox, News Corp

Agensi
September 21, 2023 05:00 MYT
Rupert Murdoch mengumumkan pengundurannya sebagai Pengerusi syarikat-syarikatnya, Fox Corporation dan News Corporation sekali gus mengakhiri kariernya selama lebih tujuh dekad. - Gambar fail REUTERS
NEW YORK: Tokoh media berpengaruh dunia, Rupert Murdoch pada Khamis mengumumkan pengundurannya sebagai Pengerusi syarikat-syarikat yang diasaskannya, Fox Corporation dan News Corporation sekali gus mengakhiri kariernya selama lebih tujuh dekad.
"Sepanjang seluruh hidup profesional saya, saya telah terlibat setiap hari dengan berita dan idea dan itu tidak akan berubah," tulis Murdoch yang berusia 92 tahun dalam memorandum kepada pekerja-pekerjanya.
"Bagaimanapun, masanya sudah tepat bagi saya untuk mengambil peranan yang berbeza, sambil mengetahui bahawa kami mempunyai pasukan yang benar-benar berbakat."
Sebagai pemimpin Fox dan News Corporation, yang menerbitkan akhbar berpengaruh seperti The Wall Street Journal dan akhbar gosip New York Post, Murdoch telah menguasai pengaruh yang besar dalam Parti Republikan dan hanya disaingi oleh beberapa orang terpilih.
Menurut laporan portal-portal media antarabangsa, anak lelaki beliau, Lachlan Murdoch, akan menjadi Pengerusi tunggal News Corp dan Pengerusi serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Fox.
Peralihan ini sekali gus mengukuhkan peranan Lachlan sebagai pemimpin empayar media itu dan mengakhiri persoalan mengenai siapa yang bakal meneruskan legasi Murdoch.
Murdoch yang mengawal pemilikan saham hampir penuh dalam kedua-dua syarikat itu, akan dilantik sebagai Pengerusi Emeritus bagi kedua-dua syarikat tersebut.
Dalam nota yang sama kepada kakitangannya, Murdoch menulis: "Syarikat-syarikat kami dalam keadaan yang kukuh, seperti saya juga."
Murdoch yang mempunyai enam orang anak sudah lama menyimpan hasrat agar anak-anaknya mengambil alih empayarnya.
Anak lelakinya, James, sebelum ini adalah CEO Twenty-First Century Fox sebelum syarikat tersebut memutuskan untuk menjual aset filem dan televisyennya kepada Walt Disney Co dengan nilai AS$71.3 bilion (RM334.5 bilion), perjanjian yang berakhir pada tahun 2019.
James kemudian mengalihkan hasil daripada perjanjian itu ke sebuah firma pelaburan persendirian, Lupa Systems. Lachlan pula dilantik sebagai CEO Fox Corp yang baharu. - Agensi
#Rupert Murdoch #Rupert Murdoch letak jawatan #Fox Corporation #News Corporation
;