Runtuhan salji di Iran, 10 pendaki terbunuh, beberapa lagi hilang

Agensi
Disember 27, 2020 16:29 MYT
Sekurang-kurangnya 10 pendaki maut sementara beberapa lagi dilaporkan hilang akibat runtuhan salji di ibu negara Iran, Tehran. - Gambar REUTERS
TEHRAN: Sekurang-kurangnya 10 pendaki maut sementara beberapa lagi dilaporkan hilang akibat runtuhan salji di ibu negara Iran, Tehran.
Portal Aljazeera melaporkan, beberapa jalan turut diselaputi salji sejak beberapa hari yang lalu, memaksa laluan utama itu ditutup sementara.
Jumlah pendaki yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu masih belum dikenal pasti, pun begitu pasukan penyelamat percaya angka itu akan meningkat dengan peningkatan bilangan keluarga yang membuat laporan mengenai kehilangan ahli keluarga mereka.
Ketua Operasi Kecemasan Persatuan Bulan Sabit Merah Iran, Mehdi Valipour berkata, sembilan pendaki ditemukan mati di kawasan pergunungan manakala seorang lagi disahkan mati ketika sedang menerima rawatan di hospital.
Katanya, cuaca yang buruk menyukarkan operasi mencari dan menyelamat.
Dalam perkembangan berasingan, tujuh anak kapal dilaporkan hilang di perairan Teluk negara itu akibat cuaca buruk.
Penolong Ketua Pasukan Maritrim Iran, Esmail Makkizadeh berkata, pasukannya mengiatkan operasi pencarian dan setakat ini masih belum ada sebarang petunjuk mengenai kehilangan mereka.
#pendaki terkorban #Runtuhan salji #jalan diselaputi salji #jalan utama ditutup #pendaki terbunuh #anak kapal hilang #cuaca buruk
;