Rundingan tidak rasmi mengenai Myanmar tumpu kepada bantuan kemanusiaan, 5PC

Bernama
Disember 23, 2022 12:00 MYT
Menteri Luar Myanmar, Wunna Maung Lwin, berkata ketika rundingan itu delegasi Myanmar bertukar pandangan mengenai kerjasama Myanmar dengan ASEAN untuk pelaksanaan 5PC. - Foto Council on Foreign Relations YT
BANGKOK: Rundingan tidak rasmi mengenai Myanmar yang diadakan di Bangkok pada Khamis, antara lain menumpukan kepada bantuan kemanusiaan serta meneroka pendekatan lain yang boleh menyokong pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC).
Jurucakap Kementerian Luar Thailand Kanchana Patarachoke berkata rundingan itu adalah mesyuarat bukan ASEAN sebaliknya bertujuan melengkapkan usaha kolektif berterusan ASEAN untuk mencari penyelesaian politik secara aman terhadap situasi di Myanmar,
"Perundingan tidak rasmi itu turut memberi peluang mendengar daripada pihak Myanmar dan bertukar pandangan bagi mencari jalan keluar ke arah mengembalikan keadaan seperti sediakala di Myanmar," katanya dalam satu kenyataan.
Rundingan tidak rasmi itu diadakan di luar perbincangan dua hala Thailand-Myanmar di Bangkok.
Menteri luar Kemboja, Laos, Timbalan Menteri Luar Vietnam serta menteri yang bertanggungjawab bagi kerjasama antarabangsa dan bantuan kemanusiaan antara yang menyertai rundingan itu.
Ia menyaksikan penampilan Myanmar di peringkat antarabangsa kerana jeneral Myanmar dilarang menghadiri perhimpunan peringkat tinggi termasuk Sidang Kemuncak ASEAN kerana kegagalan negara ini membawa keputusan positif.
Sementara itu, Kanchana berkata rundingan bagi menyediakan ruang diplomatik untuk perbincangan yang jujur dan membina serta penglibatan pragmatik, khususnya bagi negara jiran yang paling terkesan akibat situasi di Myanmar.
"Thailand akan terus memberikan sokongan penuh kepada Indonesia selaku Pengerusi ASEAN akan datang dalam meneruskan kemajuan yang dicapai di bawah Kemboja," katanya.
Dalam satu kenyataan, Menteri Luar Myanmar berkata ketika rundingan itu delegasi Myanmar bertukar pandangan mengenai kerjasama Myanmar dengan ASEAN untuk pelaksanaan 5PC, memberikan maklumat yang betul dan mengulangi pendirian Myanmar mengenai semakan semula pemimpin ASEAN yang diterima pakai baru-baru ini.
Delegasi Myanmar turut menyentuh mengenai kemajuan penyampaian bantuan kemanusiaan kepada Myanmar di bawah 5PC dengan kerjasama Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana ASEAN (Pusat AHA).
"Jelas delegasi Myanmar "aktiviti pengganas" oleh pertubuhan yang menyalahi undang-undang, Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) dan Angkatan Pertahanan Rakyat (PDF) menghalang usaha kerajaan Myanmar untuk memulihkan keamanan dan demokrasi.
"Delegasi itu menggesa negara anggota ASEAN untuk mengecam aktiviti pengganas NUG dan PDF dan tidak memberikan sebarang sokongan moral, material dan kewangan kepada organisasi pengganas itu," katanya.
-- BERNAMA
#Myanmar #ASEAN #Konsensus Lima Perkara #Thailand
;