Rundingan Perjanjian Nuklear hampir capai kata sepakat

Astro Awani
Ogos 8, 2022 09:15 MYT
Bangunan Palais Coburg di mana rundingan tertutup nuklear diadakan di Vienna. - Foto AP
VIENNA: Rundingan mengenai Perjanjian Nuklear 2015 dijangka mencapai kata sepakat dalam masa terdekat.
Perkara itu disahkan oleh ketua delegasi Rusia, Mikhail Ulianov pada Ahad.
Ulianov berkata, rundingan bergerak ke arah yang betul dan bilangan isu yang tidak dapat diselesaikan adalah minimum iaitu tiga atau empat dengan beberapa daripadanya hampir selesai.
Pusingan baharu rundingan mengenai pemulihan Perjanjian Nuklear 2015 antara Iran dan kuasa dunia bermula baru-baru ini di Vienna selepas berehat selama 150 hari.
Iran menandatangani Perjanjian Nuklear, secara rasmi dikenali sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA), dengan kuasa dunia pada Julai 2015.
Negara itu bersetuju untuk mengekang program nuklearnya sebagai balasan untuk menghapuskan sekatan ke atas negara itu.
Bagaimanapun, bekas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menarik keluar Washington daripada perjanjian itu.
Rundingan mengenai memulihkan JCPOA bermula pada April 2021 di ibu kota Austria, Vienna tetapi digantung pada Mac tahun ini kerana perbezaan politik antara Tehran dan Washington.
#perjanjian nuklear #JCPOA #kata sepakat #Iran
;