Rundingan kod tata laku di Laut China Selatan bukan mudah - Filipina

Bernama
Jun 28, 2023 00:07 MYT
Manalo berkata walaupun ASEAN bersetuju mengenai rangka kerja yang dicadangkan, kesukaran timbul "apabila perbincangan menjerumus kepada lebih spesifik", yang bersifat teknikal. - Gambar Ted AljibeP/Pool via Reuters
NEW DELHI: Rundingan antara ASEAN dan China mengenai kod tata laku (CoC) bagi Laut China Selatan adalah sukar kerana ia melibatkan perbincangan antara 11 negara dan bukan hanya antara dua pihak, kata Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Enrique Manalo pada Rabu.
CoC bertujuan mewujudkan asas kerjasama demi mengekalkan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan (SCS), menyaksikan China dan beberapa anggota ASEAN, termasuk Malaysia, Indonesia dan Filipina mempunyai pertikaian wilayah dan tuntutan bertindih.
Kesemua 10 negara ASEAN serta China bersetuju bahawa terdapat keperluan untuk menghasilkan kod etika, tetapi perbincangan untuk memuktamadkannya adalah suatu cabaran, katanya.
Rundingan ini "tidak semestinya antara ASEAN dan China, tetapi rundingan antara 11 negara.
"Jadi anda boleh bayangkan kerumitannya," tambahnya.
Manalo berkata demikian ketika menjawab soalan selepas menyampaikan syarahan di badan pemikir Majlis Hal Ehwal Dunia India (ICWA) di New Delhi.
"Rundingan telah berjalan sejak empat atau lima tahun lalu, dan saya fikir kita masih mempunyai beberapa cara untuk diteruskan atas beberapa sebab," katanya.
Manalo berkata walaupun ASEAN bersetuju mengenai rangka kerja yang dicadangkan, kesukaran timbul "apabila perbincangan menjerumus kepada lebih spesifik", yang bersifat teknikal.
"Dari segi politik, China dan semua negara ASEAN komited untuk meneruskan rundingan mengenai CoC yang berkesan dan substantif," katanya.
Menteri itu menyifatkan situasi Laut China Selatan sebagai "cabaran utama dalam hubungan kami" dengan China tetapi menegaskan bahawa ia "tidak menjejaskan keseluruhan hubungan kami", menunjukkan hubungan ekonomi dan budaya yang kukuh.
Pada 2013 Filipina telah memfailkan kes dengan Mahkamah Timbang Tara Tetap di Hague berhubung pertikaian maritimnya dengan China dan keputusan memihak kepada Filipina pada 2016.
Walaupun China tidak mengiktiraf keputusan antarabangsa itu, Manalo menegaskan: "Keputusan timbang tara adalah muktamad dan terikat."
Beliau turut menyentuh mengenai kebimbangan China terhadap kerjasama ketenteraan yang semakin meningkat antara Filipina dan Amerika Syarikat (AS) .
Filipina baru-baru ini mengenal pasti empat pangkalan tentera baharu dan AS akan mendapat akses sebagai sebahagian daripada Enhanced Defence Cooperation Arrangement (EDCA) mereka pada 2014.
"Apa yang kami nyatakan secara konsisten ialah aktiviti dan langkah yang ambil ini adalah dalam konteks perjanjian pertahanan bersama dan menurut kepentingan dua hala dan nasional, bukan dalam konteks persaingan AS-China," kata Manalo.
Beliau juga berkata negaranya sedang mengkaji untuk meningkatkan hubungan pertahanan dengan India dan perjanjian senjata yang berpotensi.
"Kami pastinya berharap untuk membangunkan kerjasama pertahanan yang sangat mantap dengan India," katanya.
-- BERNAMA
#ASEAN #EDCA #CoC #SCS
;