Rundingan gencatan senjata Gaza di Kaherah gagal mara ke fasa kedua: Laporan
Bernama
Mac 1, 2025 20:28 MYT
Mac 1, 2025 20:28 MYT
Sumber itu menegaskan semula bahawa gerakan penentangan Palestin tidak akan membebaskan mana-mana tahanan Israel tanpa perjanjian komprehensif. - Gambar fail/Reuters
TEHRAN: Rundingan Kaherah mengenai fasa kedua perjanjian gencatan senjata antara gerakan penentangan Palestin Hamas dan rejim Israel telah gagal, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA), memetik saluran televisyen berita satelit Al Mayadeen.
Al Mayadeen pada Sabtu memetik seorang pegawai Palestin yang tidak dinamakan sebagai berkata bahawa Israel sengaja menangguhkan untuk memanjangkan fasa pertama perjanjian sambil secara beransur-ansur memastikan pembebasan tahanannya.
Sumber itu menegaskan semula bahawa gerakan penentangan Palestin tidak akan membebaskan mana-mana tahanan Israel tanpa perjanjian komprehensif.
"Pihak Israel cuba menggunakan taktik pemerasan, tetapi kami menolak sebarang perjanjian yang bukan sebahagian daripada perjanjian pakej penuh," kata pegawai itu.
Pegawai itu seterusnya berkata bahawa pengantara tidak berjaya memujuk rejim Israel untuk terlibat dalam fasa rundingan seterusnya, sambil menambah bahawa pemimpin politik Israel memberi tekanan kepada perunding untuk melanjutkan fasa pertama dengan syarat Hamas membebaskan lebih ramai tahanan.
Perkhidmatan maklumat negara Mesir berkata pada Jumaat bahawa pegawai Israel menyertai pengantara dari Qatar dan Amerika Syarikat (AS) pada Khamis untuk "perbincangan intensif" mengenai fasa kedua perjanjian gencatan senjata Israel-Hamas di Gaza.
Rejim Zionis dan Hamas mengumumkan perjanjian gencatan senjata tiga fasa pada 15 Jan, berikutan rundingan tidak langsung yang disahkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu antara kedua-dua pihak.
Perbincangan mengenai fasa kedua perjanjian gencatan senjata bertujuan untuk merundingkan penamatan penuh perang dan pendudukan rejim Israel di Semenanjung Gaza dan membebaskan semua tahanan Israel yang masih tinggal.
Hamas menegaskan komitmennya untuk berunding mengenai fasa kedua perjanjian itu, dengan mengatakan bahawa Israel "tidak mempunyai pilihan" selain terlibat dalam perbincangan.
-- BERNAMA