Rundingan gencatan senjata di Doha gagal capai kata sepakat

Agensi
Ogos 17, 2024 23:30 MYT
Kebimbangan kemungkinan serangan Iran ke atas Israel menimbulkan ancaman serius terhadap harapan gencatan senjata yang sudah kelihatan tipis sejak beberapa minggu kebelakangan ini. - REUTERS/Hatem Khaled
DOHA: Pusingan terbaharu rundingan gencatan senjata antara Hamas dan Israel berakhir pada Jumaat di Qatar tanpa kejayaan, tetapi satu tarikh baharu telah ditetapkan minggu depan untuk rundingan seterusnya.
Kenyataan bersama dari Amerika Syarikat, Mesir dan Qatar memaklumkan rundingan dijalankan dalam suasana yang positif, namun gagal mencapai kata persetujuan.
Hamas, yang tidak mengambil bahagian secara langsung, menuduh Israel menambah syarat baharu kepada cadangan yang disokong sebelum ini. Mereka mendakwa Israel menuntut pengekalan tentera di sepanjang sempadan Gaza dengan Mesir dan mengenakan sekatan ke atas pertukaran tahanan.
"Hamas sepatutnya mengambil bahagian. Netanyahu mahu perang diteruskan dengan apa cara sekalipun. Sebab itu kami menggesa Hamas supaya tidak melepaskan sebarang peluang untuk mencapai gencatan senjata.
"Netanyahu sebagai ketua kerajaan musuh (Israel) adalah penghalang utama kepada rundingan ini, dia tidak mahu rundingan itu berjaya, sebab itu kita tidak harus memberinya peluang," kata Mohammed Abu Samra, ketua Pergerakan Kemerdekaan Palestin.
Kebimbangan kemungkinan serangan Iran ke atas Israel menimbulkan ancaman serius terhadap harapan gencatan senjata yang sudah kelihatan tipis sejak beberapa minggu kebelakangan ini, terutama selepas serangan Israel membunuh pemimpin politik Hamas, Ismail Haniyeh.
Pasukan teknikal dari Amerika Syarikat, Mesir, Qatar dan Israel akan terus berusaha ke arah perjanjian, sebelum satu lagi pusingan rundingan diadakan di Kaherah minggu depan.
#Gaza #Israel #Palestin #gencatan senjata