Rundingan damai Syria di Geneva buntu, bagaimana dengan Astana?

Astro Awani
Disember 22, 2017 13:43 MYT
Rundingan damai Syria kali ini turut disertai Wakil Khas PBB ke Syria, Staffan de Mistura. - Gambar fail
Siri rundingan damai Syria tajaan Rusia, Iran dan Turki bersambung di Astana, Kazakhstan susulan siri rundingan damai yang ditaja Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) minggu lalu.
Lebih unik, rundingan kali ini turut disertai Wakil Khas PBB ke Syria, Staffan de Mistura.
Berbanding sebelum ini, rundingan dua hari kali ini dilihat lebih serius dengan kehadiran kedua-dua pihak.
Menurut wakil pembangkang Syria, Rusia perlu lebih menumpukan kepada usaha memastikan Presiden Bashar Al Assad bersetuju dengan penyelesaian politik.
"Kita menggesa Rusia agar berbuat demikian dengan memberi lebih tekanan kepada rejim Bashar.
"Agar mereka bersetuju dengan jalan penyelesaian politik dan pembebasan tahanan," jelasnya.
Antara topik utama yang turut dibincang adalah berhubung pengukuhan proses gencatan senjata dan mengangkat semula sekatan yang dikenakan di beberapa wilayah yang dikuasai tentera kedua-dua pihak.
Selepas rundingan dua hala, kedua-dua pihak perlu menghadiri sidang tiga hala bersama negara penaja.
Rudingan damai Syria siri ke-8 ini diadakan susulan pengunduran tentera Rusia di Syria awal bulan ini.
#Iran #PBB #pembangkang #presiden #Rusia #Staffan de Mistura #Syria #tentera #Turki
;