Rundingan Brexit masih belum ada hasil
Astro Awani
November 6, 2018 07:48 MYT
November 6, 2018 07:48 MYT
Masa makin suntuk, namun sehingga kini rundingan Brexit antara Kesatuan Eropah (EU) dan Britain, yang perlu dimuktamadkan dalam masa terdekat, belum ada hasil.
"Setakat ini, kami masih berunding," kata Ketua Perunding EU Michel Barnier pada Selasa, berhubung persetujuan yang dijangka dicapai antara dua pihak itu.
Satu perjanjian dilihat umpama sesuatu yang mustahil, terutamanya apabila melibatkan isu sempadan Ireland.
"Saya tidak boleh katakan yang kita sudah hampir mencapai satu persetujuan.
"Ini kerana, masih ada titik percanggahan berhubung cara memastikan wujud keamanan di Ireland, tiada sempadan di Ireland, sambil melindungi integritinya sebagai pasaran tunggal," kata Barnier.
Pemimpin EU mendesak mahukan satu jaminan supaya apa jua persetujuan mengenai sempadan itu akan dikuatkuasakan.
Namun, Britain mahu segala perjanjian bersifat sementara.
Sempadan dengan Ireland bakal menjadi satu-satunya pintu belakang sempadan (backstop border) dengan EU selepas Brexit.
Kedua-dua pihak juga setuju peraturan sempadan di kawasan tersebut tidak boleh terlalu ketat.
Britain dijadual secara rasmi meninggalkan blok EU pada 29 Mac.