Rumah mayat Zeinhom saksi tragedi Mesir

AFP
Ogos 20, 2013 07:00 MYT
Di luar sebuah rumah mayat di ibu kota Mesir ini seorang wanita berbincang dengan kedua ibu bapanya. Ibunya tidak menerima sekujur mayat yang sedang mereput di depan mereka adalah anak lelakinya. Tetapi ayahnya bertegas itu anak mereka.
"Apa jadi? Kenapa tidak ada sesiapa yang menuntut mayat ini," jerit seorang lelaki dengan topeng muka yang biasa dipakai di hospital tergantung dekat mulutnya.
"Keluarga ini tidak boleh buat keputusan," balas seorang lelaki lain.
"Ayahnya kata itu anak mereka tetapi ibunya tidak percaya."
Seorang wanita berpakaian serba hitam dan bertudung memeluk erat gambar seorang lelaki setuju untuk cuba mengenal pasti mayat itu.
"Saya anak perempuannya," kata wanita itu. Dia pada awalnya teragak-agak untuk menatap wajah mayat yang berbalut kain putih yang terbujur dalam keranda.
Kawanan lalat menghurung keranda itu; sesetengahnya hinggap di atas ketulan ais yang diletakkan di atas mayat itu guna untuk melambatkan ia reput.
"Apakah dia ada tanda dekat matanya?" tanya wanita itu kepada kumpulan lelaki yang berdiri dekat mayat itu. Dia sedaya upaya cuba untuk tidak menatap mayat itu.
Sesetengah daripada mereka menjawab ya, sesetengah yang lain mengatakan tidak. Kain yang menutupi mayat itu pun dibuka menunjukkan wajah yang gelap dan berbeza tetapi adalah wajah lelaki yang sama dalam foto itu.
Perempuan muda itu terkejut dan berundur kembali kepada sanak saudara yang menunggu di laman di luar rumah mayat Zeinhom tempat mayat-mayat melimpah melebihi muatan.
Sampah berlonggok di bucu bangunan dan lantainya sudah bertukar jadi lecah. Sebuah keranda kosong yang disandarkan di dinding jatuh tiba-tiba mengejutkan kawanan lalat yang bingkas terbang.
Hampir 600 orang terbunuh pada Rabu lepas di serata Mesir dalam keganasan selepas pihak berkuasa memaksa penunjuk perasaan yang berkhemah di dua tempat di Kaherah bubar.
Khemah-khemah itu dibangunkan oleh kumpulan penyokong bekas Presiden Mohamed Morsi yang digulingkan. Kebanyakan mereka terbunuh apabila khemah mereka diruntuhkan.
Pada Isnin, lima hari kemudian, mayat-mayat mereka yang terbunuh di Rabaa al-Adawiya masih terbujur di rumah mayat.
Apabila pintu besi rumah mayat itu ditolak, mayat-mayat itu akan ternampak.
Mayat-mayat itu juga disimpan di luar, disusun dalam dua trak peti sejuk, menunggu untuk dituntut oleh ahli keluarga yang kebanyakannya datang dari daerah di luar kota Kaherah.
Di laman rumah mayat itu, setanggi dibakar dan diletakkan di beberapa sudut guna untuk menghilangkan bau mayat.
Tetapi kalau pintu rumah mayat itu terbuka, baunya menyergap ke luar dan menenggelamkan wangi setanggi.
Antaranya yang menunggu di luar rumah mayat itu adalah sanak saudara yang belum lagi tahu apakah orang kesayangan mereka ada terbujur di dalam bangunan itu.
Sesetengah mereka sudah mengenal pasti mayat dan menunggu proses untuk mengeluarkan jenazah.
Seorang lelaki yang agak berumur sambil menangis teresak-esak mengatakan anak kawannya, Reda, 15 tahun ada di dalam.
"Ayahnya cacat dan ibunya di Rabaa. Dia pergi ke Raba mencari ibunya dan kemudian hilang. Dia ditembak di sana," kata lelaki itu.
Jenazah Mohamed Shaaban Sayed terbaring di satu ruangan dekat pintu rumah mayat dikenal pasti oleh sepupunya.
"Dia maut di Rabaa, dan dia juga," katanya sambil menunjuk kepada satu lagi jenazah bersebelahan sepupunya itu.
Kedua-dua jenazah itu berbalut kain kafan yang bertompok darah dan darah itu yang meleleh keluar kini beku pada pengusung besi tempat jenazah itu terbaring.
Ketika rumah mayat itu berhempas pulas menguruskan jenazah yang ada, lebih banyak lagi jenzah yang tiba.
Pada Isnin, jenzah 37 banduan dibawa ke sini. Pihak berkuasa mengatakan mereka sesak nafas terkena gas pemedih mata selepas mereka menahan seorang tebusan. Tetapi penyokong Morsi mendakwa mereka telah dibunuh.
Abdul Aziz Abdel Rahim, 38, adalah antara banduan yang terbunuh.
"Ada yang kata mereka sesak nafas terkena gas, ada yang kata hanya Allah saja yang tahu," kata ayahnya yang menunggu di luar rumah mayat Zeinhom.
#Ikhwanul Muslimin #Mesir #Mohamed Morsi
;